SELAYANG – Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) mengemukakan tujuh syor untuk diambil perhatian oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH).
Tujuh syor tersebut dimasukkan dalam memorandum yang dihantar kepada Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Ketua Angkatan AWAN, Senator Aiman Athirah Al Jundi berkata, memorandum tersebut bertujuan mengemukakan cadangan terhadap pindaan Perlembagaan PH.
Langkah itu katanya, merangkumi secara jelas tafsiran, kedudukan, keanggotaan, urus tadbir, tugas, kuasa dan tanggungjawab berkaitan Majlis Pimpinan Wanita PH Malaysia dan negeri serta Jawatankuasa Penyelaras Wanita Parlimen.
Ujarnya, beberapa perkara penting turut bersangkutan dengan kandungan di dalam memorandum itu terhadap kedudukan wakil wanita PH dalam Mesyuarat Majlis Presiden yang akan diadakan pada 21 Februari ini dan seterusnya.
“Melihat kepada permasalahan yang telah dibangkitkan, AWAN Nasional ingin memajukan tujuh syor untuk perhatian dan tindakan Majlis Presiden Pakatan Harapan.
“Majlis Presiden sendiri yang mengeluarkan arahan untuk pemilihan baharu Ketua Wanita PH yang kemudiannya akan diikuti dengan pemilihan baharu Ketua Wanita PH Negeri-Negeri yang terlibat dengan perubahan.
“Perlu menyegerakan Pindaan Perlembagaan Pakatan Harapan bagi memastikan keabsahan oraganisasi Wanita PH,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Aiman Athirah berkata, Majlis Presiden perlu membincangkan progres pelaksanaan manifesto PH terutama agenda wanita dalam kerajaan serta pencapaian dasar dan polisi mesra wanita di peringkat Kementerian Pembangunan Wanita Kelaurga dan Masyarakat.
Ujarnya, Majlis Presiden juga perlu membincangkan peranan jentera wanita PH dalam membantu membawa turun dasar dan polisi kerajaan ke pringkat akar umbi.
Katanya lagi, AWAN Nasional juga ingin menegaskan bahawa langkah proaktif yang diambil oleh kepimpinan AWAN Nasional itu adalah bagi memastikan keutuhan jentera wanita PH serta kesepaduan dalam gerak kerja sebagai satu pasukan yang mantap. – MalaysiaGazette