Perlawanan Piala Sumbangsih antara JDT menentang Kedah akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada 28 Februari ini.

KUALA LUMPUR – Stadium baharu milik pasukan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Stadium Sultan Ibrahim kini sudah semakin bersedia untuk dibuka kepada umum pada bulan ini.

Menurut Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards, stadium baharu tersebut kini bakal menjalani pemeriksaan oleh pihak penganjur liga dalam masa terdekat.

“Johor Darul Ta’zim akan melakukan pemeriksaan terakhir untuk Stadium Sultan Ibrahim bersama-sama badan pengelola bola sepak seperti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Malaysian Football League (MFL) dan juga Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

“Pemeriksaan itu akan dilakukan pada 18 dan juga 19 Februari ini,” kata Edwards menerusi laman Facebook Johor Southern Tigers.

Menurut Edwards, pemeriksaan itu dilakukan supaya Stadium Sultan Ibrahim itu dapat kelulusan untuk bermain di dalam kancah Liga Malaysia dan juga Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Stadium Sultan Ibrahim akan dibuka untuk pembukaan rasmi pada 22 Februari ini sebelum mengadakan perlawanan kompetitifnya yang pertama pada 28 Februari ini.

Perlawanan kompetitif yang pertama di stadium tersebut adalah perlawanan Piala Sumbangsih menentang Kedah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast