Setiausaha Agung Komanwel, Patricia Scotland bercakap semasa sidang media mengenai hasil lawatan kerja Setiausaha Agung Komanwel ke Malaysia selama 7 hari bermula 15 Februari di Hotel Shangri La, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Kerajaan belum bercadang untuk melakukan sebarang pindaan terhadap Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) bagi mengelak pertikaian dalam beberapa perkara spesifik susulan keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Beliau berkata ia sebagai menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa anak orang Islam yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan atau tidak sah taraf tidak boleh di bin atau binti dengan nama bapanya.

“Belum ada sesuatu yang ‘solid’ dalam hal ini,” katanya pada sidang media khas bersama Setiausaha Agung Komanwel Patricia Scotland di sini hari ini mengenai hasil lawatan kerja beliau ke Malaysia.

Mujahid berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan beberapa pihak yang mahukan Akta BDRA dipinda dengan memasukkan peruntukan khusus berkaitan penamaan anak orang Islam.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan mufti untuk membincangkan keputusan Mahkamah Persekutuan itu, termasuk meneliti keperluan menyelaras undang-undang di peringkat negeri.

“Kerajaan hormat segala keputusan, kita anggap sebagai maklumat balas awam. Ini perbezaan pandangan dan pendapat yang ada,” katanya.

Khamis lepas, Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Rohana Yusuf dalam keputusan majoriti 4-3, membenarkan sebahagian rayuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Ketua Pengarah JPN dan kerajaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 2017 yang memutuskan bahawa anak orang Islam yang tidak sah taraf tidak boleh menggunakan nama bapa sebaliknya perlu ‘di bin atau binti Abdullah.’

Menyentuh mengenai agihan pendapatan Tabung Haji (TH) kepada sejumlah 8.71 juta pendepositnya bagi tahun kewangan 2019, Mujahid berkata ia akan diumumkan tidak lama lagi.

Pada April lalu, TH mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 1.25 peratus membabitkan pengagihan berjumlah RM913 juta kepada semua pendeposit bagi tahun kewangan 2018.

Sebelum ini, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid dilaporkan sebagai melahirkan keyakinan bahawa TH mampu mengumumkan agihan pendapatan lebih baik berdasarkan prestasi kewangan lembaga itu pada suku ketiga tahun kewangan 2019.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast