KUALA LUMPUR – Struktur asas yang tidak kukuh atau tiang yang tidak menepati spesifikasi berkemungkinan menjadi punca sebahagian struktur kondominium 37 tingkat di Taman Desa, Jalan Klang Lama di sini runtuh, semalam, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.
“Bangunan itu didapati runtuh sebelum hujan. Ia bukan tanah runtuh dan kejadian berlaku sebelum hujan.
“Mungkin struktur bangunan itu sendiri tidak mengikut spesifikasi sehingga roboh daripada tingkat enam hingga ke bawah,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan program ‘Kempen KITA’ di Perumahan Awam Seri Perak di Sentul, hari ini.
Bagaimanapun, Khalid berkata siasatan dan kajian yang lebih mendalam perlu dilakukan untuk mengetahui punca sebenar runtuhan itu.
Jelasnya, berikutan insiden itu pembinaan projek kondominium berkenaan dihentikan serta-merta bagi memberi laluan kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) membuat penilaian.
Khalid turut menasihati semua pemaju agar tidak menggunakan jalan pintas ketika melaksanakan projek pembinaan.
“Dalam hal ini, tiada siapa pun yang untung. Pemaju sepatutnya mengikut semua prosedur yang telah ditetapkan,” katanya.
Dalam kejadian itu, dua warga Bangladesh dilaporkan terperangkap di tingkat satu selepas lantai tempat letak kereta di tingkat enam kondominum dalam pembinaan itu runtuh pada 3.40 petang.
Mangsa pertama diselamatkan pada 5.15 petang, manakala mangsa kedua pada 9.40 malam.- BERNAMA
ARTIKEL BERKAITAN:
Sebahagian kondomunium dalam pembinaan di Taman Desa runtuh – Bomba