KUALA LUMPUR – Tidak ada sebarang insiden rusuhan antara pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan orang awam ketika operasi di Kuil Sri Subramaniyar Swami Batu Caves malam tadi.
Berita tersebut dikatakan mula tular melalui laman sosial sehingga mengundang rasa tidak tenteram dalam kalangan warganet sejak malam tadi.
Bagaimanapun, hari ini dalam satu kenyataan Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, pihaknya tidak menerima laporan berlakunya rusuhan ketika operasi JIM pada pukul 10.30 malam itu seperti yang digembar-gemburkan.
Menurutnya, orang ramai dinasihatkan tidak menularkan atau menyebarkan apa-apa berita yang tidak benar bagi memastikan keharmonian pelbagai kaum dan sensitiviti masyarakat sentiasa terjamin.
Bagaimanapun, tegas Arifai, pihak polis akan menjalankan risikan dan siasatan jika ada keterangan pihak berkenaan didalangi oleh kumpulan kongsi gelap dan tindakan tegas akan diambil melalui Op Cantas yang masih berjalan sejak 5 Februari lalu.
Dalam pada itu, seorang sumber dari Ahli Jawatankuasa kuil Sri Subramaniyar Swami melahirkan rasa terkejut kerana ada pihak mengeluarkan berita palsu sehingga mengundang rasa tidak selesa.
Kata sumber itu yang enggan dikenali itu tidak ada apa-apa kejadian sehingga berlakunya rusuhan apatah lagi dengan sengaja mengaitkan ahli jawatankuasa kuil itu sendiri berpakaian seperti orang awam dan menggangu para pegawai JIM menjalankan tugas mereka.
“Mengapa suka keluarkan cerita-cerita tidak benar seperti ini? Sambutan Thaipusam baru sahaja berakhir dengan jutaan penganut hadir melalukan upacara sembahyang mereka. Masa itu juga, ada juga cerita-cerita tidak enak tentang kuil.
“Cerita-cerita seperti ini sebenarnya menyebabkan bukan sahaja masyarakat India di negara ini sebaliknya kaum lain juga rasa tidak tenteram dan akhirnya berlakunya provokasi yang tidak di ingini. Ingat lagi apa yang jadi di Kuil Sri Maha Mariamman Seafields?
“Jadi mengapa timbulkan cerita-cerita seperti ini? Apa sebenarnya kamu dapat dengan burukan kuil dan jawatankuasa dalam kuil? Makin lama rakyat juga muak dengar. Cukuplah.
“Adakah kami cukup ‘berkuasa’ untuk melawan pihak berkuasa? Polis sendiri kata tidak ada rusuhan, jadi mengapa masih lagi sebar-sebar berita tidak benar dan tidak betul bagi takutkan umum.
“Biar polis sahaja lakukan siasatan dengan telus, jangan kamu memandai keluarkan berita-berita seperti ini,” luahnya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Sebelum itu, orang ramai menerima teks kononnya ‘berita palsu’ berkenaan yang mendakwa seramai 50 anggota JIM Selangor telah dihalau dari kawasan peniaga haram warga India dan Pakistan.
Mesej itu juga menyebut seramai 50 anggota Jawatankuasa Kuil Batu Caves mencemuh penguat kuasa serta menghalau mereka daripada melakukan operasi dalam kuil berkenaan menggunakan kata-kata kesat sehigga hampir mencetuskan rusuhan.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya memandang serius tindakan provokasi berkenaan dan menganggap ia sebagai perbuatan menghalang tugas penjawat awam.
“Satu laporan polis akan dibuat oleh Pejabat Imigresen Negeri Selangor. Dalam perkara ini, pihaknya tidak gentar dengan sebarang tindakan provokasi oleh pihak yang melindungi pendatang asing tanpa izin di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan. –MalaysiaGazette