SUNGAI BULOH – Bekas Ketua Angkatan Muda (AMK) PKR, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor hari ini mendakwa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sendiri memberitahunya tentang pertemuan pemimpin Pas dengan Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.
Menurut Ezam, bukan setakat pertemuan itu sahaja, bahkan banyak lagi gerakan percubaan dilakukan Azmin untuk menghalang peralihan kuasa Perdana Menteri.
“Saya ke Shah Alam dua tiga hari lepas, Azmin bawa Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar jumpa dengan Dr Mahathir sekali atau dua kali.
“Orang tanya mana awak tahu, hari ini saya beritahu, saya tahu sebab Azmin beritahu saya.
“Malah Azmin beri tahu saya lebih banyak daripada itu, tapi saya simpan dulu,” katanya berucap dalam Program Kupasan Politik Semasa anjuran Gerakan Reformasi Perform, di sini, hari ini.
Semalam, Mohamad Ezam mendakwa Timbalan Presiden PKR itu menjadi orang tengah dalam pertemuan pemimpin Pas dengan Dr. Mahathir di London.
Ezam turut mendakwa Azmin merupakan individu yang memulakan langkah untuk merosakkan peralihan kuasa antara Dr Mahathir dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau juga mendakwa Kongres Maruah Melayu jadalah antara platform yang disokong oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu bagi menghalang peralihan kuasa berlaku.
“Dia main mula dengan Kongres Maruah Melayu, main dengan isu agama, isu kaum, Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, dia bersama, dia luluskan, angkat tangan sebelah kanan Hadi (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) dan belah kiri Tan Sri Annuar Musa.
“Anwar tak dijemput, apa Anwar bukan Melayu? Anwar Perdana Menteri kelapan, awak pula Perdana Menteri ketujuh, hendak cerita Melayu, panggillah Anwar, tak panggil, serang lagi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette