KUALA LUMPUR – Pemain pertahanan kanan skuad kebangsaan, Matt Davies akhirnya bersuara mengenai status perpindahannya untuk saingan Liga Super musim 2020 yang tular sejak beberapa hari lalu.
Walaupun tidak menyebut pasukan mana yang bakal disertainya, semua penyokong dan pemerhati bola sepak tempatan sudah mengetahui destinasi baharunya itu.
Menerusi laman Facebooknya, Matt Davies menyatakan bahawa ia adalah satu keputusan sukar buat dirinya dan mengumumkan semalam adalah hari terakhirnya bersama Pahang.
Berbaki kurang dua minggu lagi, Tok Gajah kini menerima tamparan hebat apabila kapten mereka akhirnya mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan yang dalam persediaan terakhir.
Pertahanan berusia 25 tahun itu turut meluah rasa Pahang sentiasa istimewa di hatinya selepas mula menyertai pasukan tersebut bermula pada musim 2015.
Selepas lima tahun dan menjadi kapten untuk empat tahun, pemain pertahanan kacukan Malaysia-Australia itu memutuskan kini masa sesuai buat dirinya mencari cabaran baharu walaupun pada awal tahun lalu dia komited untuk terus bersama Pahang.
Namun, mungkin atas kesempitan dan masalah kewangan pasukan ketika ini, Pahang dan Davies terpaksa menerima tawaran ke atasnya yang masih berbaki setahun kontrak.
“Hari ini merupakan hari yang sukar buat saya kerana terpaksa memberitahu bahawa hari ini merupakan hari terakhir saya bersama Pahang FA. Setelah lima musim dengan kelab ini dengan lebih 150 perlawanan, akhirnya saya terpaksa mengucapkan selamat tinggal.
“Amat sukar untuk saya mengucapkan dengan kata-kata bahawa negeri ini amatlah bermakna buat saya dan betapa sukarnya untuk berpisah,” ucapnya dalam kenyataan tersebut.
Di kesempatan itu, Davies turut meninggalkan ucapan terima kasihnya kepada beberapa pihak terutamanya pengurusan pasukan, rakan-rakan sepasukan, para penyokong dan juga Tengku Muda Pahang (TMP) atas sokongan kepadanya selama bersama Pahang.
“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada rakan sepasukan saya, kakitangan Pahang FA dan terutama sekali para peminat.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada TMP kerana selalu mempercayai saya dan membenarkan saya menjadi kapten pasukan ini sejak 2016,” tambahnya.
Sebelum menutup bicara dalam postingnya, Matt Davies dilihat turut menegaskan sekali lagi yang Pahang akan selamanya ada tempat yang istimewa di hatinya.
Davies akan diperkenalkan sebagai pemain baharu Johor Darul Ta’zim (JDT) hari ini. – MalaysiaGazette