Lim Guan Eng

CYBERJAYA – Kerajaan tidak mampu untuk mengganti balik kerugian yang dialami oleh para peniaga akibat penularan wabak Covid-19.

Tambahan pula, ia adalah sebahagian daripada risiko perniagaan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika ditanyakan soalan mengenai aduan peniaga mengenai tidak banyak bantuan yang diberikan kerajaan kepada peniaga untuk berhadapan dengan kesan wabak tersebut.

Malah terdapat pengusaha pelancongan yang mencadangkan supaya penurunan cukai pelancongan dijadikan salah satu agenda dalam pakej rangsangan ekonomi yang bakal dilancarkan pada 27 Februari ini.

Sektor pelancongan merupakan sektor paling terkesan akibat penularan Covid-19 selain sektor logistik dan pengeluaran.

Tambah Guan Eng, apa yang kerajaan boleh lakukan adalah membantu untuk mengurangkan kerugian tersebut dan memastikan mereka terus kekal dalam perniagaan menerusi pakej rangsangan ekonomi.

Di samping itu, kerajaan juga katanya, berusaha sedaya-upaya untuk mengekang penularan wabak berkenaan daripada terus merebak.

“Tidak munasabah untuk kerajaan menanggung kerugian kerana jumlahnya terlalu besar cuma kita boleh bantu untuk memastikan perniagaan tersebut kekal (hidup) dan apabila ekonomi pulih kembali, mereka boleh mencatat keuntungan semula.

“Dalam perniagaan ada naik dan turun, bila turun kerajaan akan bantu dan apabila (ekonomi pulih) perniagaan naik semula, mereka pula membantu kerajaan,” katanya semasa sidang media selepas melancarkan geran padanan pendigitalan RM500 juta bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di sini hari ini.

Menurut Guan Eng, terdapat cadangan daripada pakar-pakar supaya pengusaha perniagaan melabur dalam modal insan dengan mengadakan latihan kepada kakitangan sedia ada ketika ekonomi sedang suram.

Ini bagi membolehkan pengusaha dapat segera meraih manfaat apabila ekonomi kembali pulih.

“Ada cadangan supaya diadakan latihan untuk kakitangan sedia ada dan bukannya membuang pekerja.

“Naik-turun perniagaan adalah biasa dan apabila ekonomi kembali pulih, mereka akan boleh segera meraih manfaat tersebut,” katanya lagi.

Guan Eng sekali lagi menegaskan, pakej rangsangan ekonomi yang bakal diumumkan Perdana Menteri hujung bulan ini adalah untuk membantu sektor-sektor yang terjejas akibat wabak Covid-19.

Ketika ditanya apakah kerajaan akan menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2020 susulan penularan wabak Covid-19 serta prestasi lemah ekonomi tahun lepas yang menyaksikan pertumbuhan paling perlahan sejak sedekad lalu, Guan Eng menjawab: “Mungkin ada semakan, mungkin tiada semakan.

“Tunggu sehingga pelancaran pakej rangsangan ekonomi nanti. Jika beritahu sekarang, apa gunanya kita buat pengumuman nanti.”

Hari ini, Singapura mengumumkan unjuran pertumbuhan negara tersebut diturunkan kepada -0.5 peratus hingga 1.5 peratus tahun ini didorong oleh pertumbuhan KDNK 2019 yang perlahan serta wabak Covid-19. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.