MELAKA – Walaupun desas-desus mengenai pembentukan kerajaan Pakatan Nasional semakin menjadi-jadi, tetapi DAP tetap menafikan perkara itu.
Terbaru, seorang pemimpin PKR Melaka, G. Rajendran menyatakan bahawa Melaka mungkin menyaksikan pembentukan kerajaan Pakatan Nasional yang pertama di negara ini.
Katanya, beberapa pemimpin PKR dan Bersatu telah berbincang untuk membentuk kerajaan bersama dengan UMNO untuk melantik seorang Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) bagi menggantikan Adly Zahari sebagai Ketua Menteri Melaka.
Pengerusi DAP Melaka yang juga anggota Exco negeri, Tey Kok Siew ketika dihubungi Kwong Wah Yit Poh bagaimanapun menafikan kemungkinan itu.
“Walaupun pilihan raya sudah berlalu dua tahun, tetapi masih ada orang yang menyebarkan berita palsu tentang pertukaran kerajaan dan pertukaran ketua menteri,” katanya kepada Kwong Wah Yit Poh.
Tegas Kok Kiew, wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) masih memberi sokongan padu kepada kepimpinan Adly.
Mengenai seorang Exco mengundurkan diri daripada kumpulan WhatsApp, Kok Kiew mengesahkan ia benar-benar pernah berlaku, tetapi pemimpin itu sudah kembali ke kumpulan.
“Ini bukannya berkaitan dengan hal kerajaan negeri, tetapi berkaitan hal agensi kerajaan,” katanya.
Mengenai seorang anggota Exco yang sering tidak hadir mesyuarat pula, Kok Kiew berkata, dirinya juga pernah tidak hadir mesyuarat atas sebab tertentu.
“Ini bukan perkara yang luar biasa, tetapi ia telah diperbesarkan oleh pihak yang mempunyai agenda tertentu.
“Anggota Exco itu ada hadir mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri minggu lalu.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dipetik China Press sebagai berkata, berita mengenai pembubaran PH dan kerjasama antara PH dengan pembangkang adalah berita palsu kerana kedua-dua keadaan itu tidak akan berlaku.
“Saya harap kalian jangan percaya berita palsu ini. Seperti yang dikatakan Tun Dr. Mahathir Mohamad, sesetengah laporan yang bertujuan membuat beliau bergaduh dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tidak benar,” kata Guan Eng. – MalaysiaGazette