Amiruddin Hamzah

PETALING JAYA – Kerajaan menasihat dan menggalakkan pemain industri yang perniagaannya terjejas akibat penularan Covid-19 agar mengekal dan melatih semula pekerja mereka untuk bersiap sedia menghadapi pemulihan semula.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Wira Amiruddin Hamzah berkata, kerajaan telahpun bertemu dan  berbincang dengan pemain industri yang terkesan dan kini sedang meneliti pakej rangsangan yang akan ditawarkan bagi membantu mereka.

“Kami berharap majikan akan menimbang keputusan mereka dengan sewajarnya.

“Sudah tentunya, dalam pakej rangsangan kami akan menawarkan sesuatu untuk meringankan bebanan majikan agar mereka tidak membuat keputusan memberhentikan pekerja, tetapi sebaliknya memastikan mereka bersiap sedia untuk merebut peluang apabila pemulihan berlaku,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Pusat Islam bagi Teknologi Pesat Membangun (ICET) pertama, di sini, hari ini.

ICET adalah perkongsian awam-swasta tiga pihak antara SEGi University, MIMOS Bhd dan RM Application Sdn Bhd, yang bertujuan untuk menjalankan program penyelidikan dan pembangunan teknologi dan latihan mengenai pembiayaan Islam yang sejajar dengan Revolusi Perindustrian 4.0 ( Industri 4.0).

Amiruddin berkata, Malaysia berada di barisan hadapan dan menjadi model bagi perniagaan Islam, seperti pasaran halal, perbankan Islam dan takaful, justeru, penubuhan ICET adalah suatu yang dipuji dalam usaha untuk menjana teknologi yang akan memastikan negara kekal menjadi peneraju.

“Seperti dalam banyak sektor industri lain, sektor kewangan di sini dan di tempat-tempat lain di dunia sedang mengalami perubahan pesat. Terutamanya, teknologi yang menganggu keseluruhan fungsi dalam industri perkhidmatan.

“Teknologi disruptif kini adalah topik yang paling hangat diperkatakan dalam industri, bukan sahaja sekadar aktiviti sokongan, bukan hanya sesuatu yang terhad kepada pemula niaga, tetapi semua bank dan  institusi kewangan menerima pakai teknologi dan inovasi.

“Mereka perlu berbuat demikian, jika tidak, mereka tidak akan dapat bergerak seiring dengan perubahan,” katanya.

Memulakan tahun baharu dengan keadaan persekitaran luaran yang tidak menentu, dan meskipun keadaan yang suram, Asia merupakan rantau paling pantas berkembang di dunia, katanya.

Memandangkan pertumbuhan berterusan Asia serta peningkatan golongan pertengahan, Amiruddin berkata prospek bagi perniagaan berasaskan Islam terutamanya kewangan Islam adalah positif dalam tempoh sederhana dan jangka panjang.

Sementara itu, Naib Canselor SEGi University Profesor Dr Patrick Kee berkata dengan  sektor teknologi berubah pada kadar yang pantas, ketersediaan industri menjadi suatu yang penting terutamanya bagi universiti tersebut kerana ia berkecimpung dalam perniagaan yang melatih tenaga kerja pada masa depan.

“Menerusi inisiatif ICET, SEGi bukan sahaja akan mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah institusi utama ke arah Industri 4.0 tetapi mempunyai peluang untuk memantapkan kedudukan negara sebagai hab global bagi teknologi kewangan Islam,” katanya.

Di bawah perkongsian tiga pihak ICET itu, SEGi University bertindak sebagai rakan pengetahuan dan kandungan, MIMOS berfungsi sebagai rakan teknikal dan RM Application bertindak sebagai rakan kandungan, pelaksanaan dan pengkomersialan produk.

Pusat itu akan menjalankan inisiatif penyelidikan bagi chatbots inovatif dan kecerdasan buatan Syariah.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast