Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. foto SYAFIQ AMBAK, 30 JANUARI 2020

SEPANG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menyerahkan syor industri untuk dimasukkan ke dalam pakej rangsangan ekonomi kepada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng selepas Mesyuarat Kabinet pada Rabu lalu.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, syor itu merangkumi maklum balas daripada cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh sektor-sektor yang terkesan akibat wabak Covid-19 itu menerusi dialog yang diadakan oleh kementerian.

“KPDNHEP telah mengadakan sesi dialog dan libat urus dan saya sendiri Rabu lepas telah menyerahkan maklum balas industri yang terdiri daripada restoran, pasaran multi level, pemasaran atas talian, sektor dagang, sektor runcit, perhotelan.

“Dalam dialog itu saya mendengar permasalahan, kesan wabak tersebut ke atas industri masing-masing, kemudian syor yang mereka cadangkan saya kemukakan kepada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pasaraya Desa Segar.

Bagaimanapun Saifuddin enggan mendedahkan cadangan yang disuarakan oleh sektor terbabit.

“Dalam laporan itu terkandung beberapa syor yang merupakan cadangan dan harapan daripada industri perdagangan dalam negeri ini.

“Saya tidak mahu memberikan perincian kerana ia akan memberi harapan,” katanya.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi pada 27 Februari ini dalam usaha kerajaan mengurangkan impak ekonomi berikutan penularan Covid-19.

Pakej rangsangan yang akan diumumkan itu bukan belanjawan baharu atau sebahagian daripada dasar Belanjawan 2020, sebaliknya ia adalah bantuan yang disalurkan kepada sektor yang terkesan. – MalaysiaGazette