Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. foto IQBAL BASRI, 20 JANUARI 2020

SEPANG – Sebanyak 10 juta topeng muka akan dibekalkan bagi memenuhi permintaan pengguna susulan penularan jangkitan COVID-19.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah itu adalah yang dipersetujui oleh syarikat pengeluar selepas mengadakan pertemuan dengannya baru-baru ini.

“Kita telah memuktamadkan jumlah pembelian dengan pengilang atau pengeluar. Kita sudah pun membuat tempahan, saya telah membuat pertemuan dengan para pengilang, daripada situ saya telah menggumpul data keupayaan pengeluaran topeng muka.

“Saya minta mereka tambah pengeluaran dan mereka bersetuju,” katanya selepas majlis Perasmian Pasaraya Desa Segar.

Bagaimanapun katanya, syarikat pengeluar topeng muka meminta agar Jabatan Kastam DiRaja Malaysia mempermudahkan urusan percukaian bahan mentah daripada luar negara.

Selain itu katanya, pengeluar juga meminta agar Kementerian Dalam Negeri (KDN) memudahkan urusan pengambilan pekerja dan mahu Kementerian Sumber Manusia membenarkan penambahan syif bekerja.

Kesemua permintaan itu ujar, Saifuddin, telah disampaikannya kepada kementerian berkaitan agar urusan dimudah dan dipercepatkan. – MalaysiaGazette