Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor

KUALA LUMPUR- Kadar dividen yang diumumkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tahun 2019 boleh dikira munasabah memandangkan persekitaran ekonomi Malaysia dan global yang mencabar.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata, meskipun kongres tersebut tidak sepenuhnya berpuas hati dengan pengumuman KWSP itu, namun  mengakui badan tersebut mempunyai tanggungjawab berat dalam memberi pulangan pelaburan kepada pencarumnya.

Ini terutamanya ketika keadaan ekonomi yang tidak menentu seperti sekarang.

“Indeks KLCI jatuh kira-kira enam peratus bagi keseluruhan tahun lepas menyebabkan pasaran saham Malaysia merekodkan prestasi terburuk di seluruh rantau.

“Ini menyukarkan KWSP untuk memberikan dividen tinggi kepada pencarum.

“Pasaran ekuiti tempatan juga lemah.

“Dari segi global pula, perkembangan geopolitik serta perang perdagangan di antara China-Amerika Syarikat menyebabkan pertumbuhan ekonomi dunia terbantut.

“Kesemua faktor ini memberi kesan terhadap pelaburan KWSP dan seterusnya menyebabkan badan tersebut memberikan dividen yang lebih rendah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, KWSP mengumumkan dividen bagi tahun 2019 adalah sebanyak 5.4 peratus untuk Simpanan konvensional manakala Simpanan Syariah 5.0 peratus.

Ia merupakan pembayaran dividen terendah sejak 2008 (akaun konvensional) manakala bagi akaun syariah, ia merupakan rekod terendah sejak dilancarkan pada 2016.

Menurut Abdul Halim, MTUC percaya, KWSP akan mengambil langkah perlu bagi memastikan dasar-dasarnya dapat diperkukuhkan dan mampu menghadapi cabaran ekonomi pada masa akan datang.

Beliau yang juga ahli lembaga pengarah KWSP turut meminta kerajaan memberikan kelonggaran kepada badan tersebut untuk membuat pelaburan di luar negara secara agresif.

Ini bagi mengurangkan impak terhadap penurunan dalam ekonomi domestik.- MalaysiaGazette