KUALA LUMPUR – Walaupun banyak spekulasi termasuk perubahan kerajaan dan kemungkinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan mengumumkan keluar parti namun tidak ada apa-apa keluar daripada mulut Timbalan Presiden PKR itu malam ini.
Sejurus selepas usai mengadakan pertemuan dengan para pimpinan PKR dan pembangkang, Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu seperti pimpinan parti lain – mengunci mulut daripada menjawab apa-apa persoalan dilontarkan kepadanya.
Beliau lebih banyak mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk wakil media yang hadir dan setia menunggunya sehingga semuanya ‘berakhir’ malam ini.
“Terima kasih kepada semua yang berada di sini sekian lama. Terima kasih kepada semua yang dapat bersama sama pada malam ini. Menunggu dengan begitu lama.
“Insyaallah, kita akan teruskan perjuangan untuk melaksanakan agenda reformasi dan membangunkan negara dengan memberikan kemakmuran kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Terima kasih,” katanya kepada pemberita sambil berjalan keluar dari Hotel Sheraton.
Ketika ditanya tentang dakwaan berlaku pengkhianatan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamed Azmin sekadar tersenyum sambil mengulang semula soalan itu kepada wakil media.
“ Khianat? Terima kasih kerana hadir,” ujarnya ringkas.
Sementara itu, Naib Presiden PKR, Zuraida Kamarudin yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan langsung mahu membuka mulut walaupun diasak berkali-kali wakil media. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Anwar sedar ada ‘pengkhianat’ PKR cuba tubuh kerajaan baharu