Gelagat Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyedari ada cubaan sesetengah pihak cuba menubuhkan kerajaan baharu.

Namun Presiden PKR itu masih menunggu maklumat lanjut mengenainya.

“Sekarang ini, kita tunggu maklumat. Tahu ada cubaan menjatuhkan PH (Pakatan Harapan).

“(Mereka) tubuh kerajaan baharu melibatkan rakan-rakan Bersatu dan segelintir pengkhianat dari PKR.

“Mereka mengadap Yang Dipertuan Agong tadi dan (setakat ini) belum ada pengumuman,” katanya menjawab soalan daripada seorang penyokongnya semasa Majlis Zikir Nuril Anwar di kediamannya di Segambut malam ini.

Tetamu khas pada majlis itu ialah Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor.

Kenyataan Anwar itu disiarkan secara langsung oleh Facebook PKR.

Selepas itu, Anwar juga berkata di hadapan tetamu di kediamannya kemungkinan berlaku perubahan kerajaan esok namun mengulangi ia belum menerima maklumat.

“Kita dikejutkan dengan perkembangan ini, bagi kita (ia) satu pengkhianatan kerana sudah janji. Sebab ada perubahan, kemungkinan akan berlaku mungkin esok tapi saya terima, ada usaha demikian,” ujarnya.

Sebelum itu, Wan Salim turut mendoakan supaya Anwar dilindungi tuhan dan diberi kekuatan fikiran dn rohani dalam perjuangannya.

Semasa takzirah Wan Salim, Anwar beberapa kali kelihatan memeriksa telefon bimbit dan serius membaca mesej.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Suasana sayu selubungi majlis solat hajat rumah Anwar

1 Komen

Comments are closed.