Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mengesahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghadap Yang diPertuan Agong di Istana Negara petang tadi.

Beliau berkata, Presiden UMNO itu pergi ke istana bersama beberapa pemimpin yang lain.

“Saya tak boleh beri apa-apa kenyataan sebab saya tak tahu kerana yang pastinya Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah memberikan mandat kepada Presiden UMNO untuk mengambil apa-apa tindakan berdasarkan kepentingan negara,” katanya ketika ditemui di lobi Menara Dato Onn di sini hari ini.

Annuar berkata, dalam perjumpaan petang ini, Ahmad Zahid memberikan maklumat berkenaan perkembangan situasi terkini politik negara kepada semua Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Sementara itu, seorang pegawai Ahmad Zahid yang enggan namanya disiarkan memberitahu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu hanya hadir mempengerusikan mesyuarat MT UMNO untuk tempoh yang singkat.

Katanya, selepas tiba di Menara Dato’ Onn di sini pada jam 5.45 petang, Ahmad Zahid memberikan amanat kepada ahli MT sebelum beredar meninggalkan mesyuarat untuk ke istana pada pukul 6 petang.

“Datuk (Zahid) dah ada di istana sekarang lepas masuk mesyuarat sekitar 10 hingga 15 minit tadi. Setakat ini, hanya presiden yang ke istana, pemimpin lain saya tidak tahu pula,” ujarnya.

Terdahulu, semua ahli MT UMNO diberikan arahan untuk berkumpul di Menara Dato’ Onn selepas mengadakan perjumpaan di satu lokasi di Janda Baik, Pahang pagi tadi. – MalaysiaGazette