Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kesemua 100 anak kapal World Dream yang dikuarantin di Tanjung Pengelih, Johor disahkan tidak mempunyai gejala dan keputusan ujian pengesahan Covid-19 .

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dengan diletakkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah masing-masing selama 14 hari dari tarikh mereka memasuki Malaysia.

Menurutnya, perjalanan pulang anak-anak kapal ini ke tempat masing-masing juga telah diaturkan sama ada diambil oleh ahli keluarga mereka atau menggunakan kemudahan bas yang telah disediakan.

“Pihak Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah yang berkenaan telah dimaklumkan mengenai anak-anak kapal terbabit, dan pemantauan kesihatan harian akan dijalankan ke atas mereka.

“Anak-anak kapal ini juga telah dinasihatkan untuk mematuhi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah yang juga merupakan perintah di bawah Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawasan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambahnya, wakil perubatan kapal persiaran berkenaan juga telah memuji tindakan kerajaan membawa pulang anak kapal warganegara Malaysia dan memaklumkan proses saringan kesihatan yang telah dijalankan adalah teratur dan dikoordinasikan dengan begitu baik dan lancar.

KKM juga, kata Dr Noor Hisham mengingatkan kepada semua anak kapal ini serta semua individu yang telah diletakkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah agar bertanggungjawab untuk memantau status kesihatan mereka sendiri setiap hari dan hendaklah patuh kepada semua arahan serta nasihat kesihatan yang telah diberikan.

Ia bertujuan bagi memastikan kesihatan individu tersebut dipantau serta mengurangkan risiko penularan kepada ahli keluarga dan masyarakat. – MalaysiaGazette