Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Bursa Malaysia berada di bawah tekanan apabila memulakan dagangan hari pertama minggu ini kerana kebimbangan pelabur terhadap ketidaktentuan politik negara pada masa ini.

Pada jam 9.03 pagi tadi, indeks penanda aras FBMKLCI jatuh 30.4 mata kepada 1,500.78.

Sejumlah 284 juta saham bernilai RM129.46 juta bertukar tangan dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung dengan 580 berbanding 33.

Manakala 111 kaunter tidak berubah.

Menurut Kenanga Investment Bank Research, terdapat kemungkinan KLCI boleh jatuh di bawah paras sokongan pertama iaitu 1,500.

Paras sokongan kedua adalah 1,470 dan kemungkinan jatuh ke paras sekitar 1,400 dan 1,450.

Sejak malam kelmarin, puluhan maklumat yang tidak diketahui kesahihannya bertebaran di media sosial yang memberi gambaran sesuatu yang besar akan berlaku.

Manakala awal pagi semalam bahang mula terasa apabila lima buah parti lima parti iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PKR, UMNO, PasĀ  dan GPS masing-masing mengadakan mesyuarat peringkat pemimpin tertinggi dan seterusnya puluhan buah kenderaan kenamaan memasuki Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, sehingga malam tadi, tiada satu kenyataan rasmi dikeluarkan memaklumkan apa sebenarnya yang sedang berlaku kepada pemerintahan di negara ini.

Malah, ahli-ahli Parlimen daripada pelbagai parti sama ada kerajaan mahu pun pembangkang yang menghadiri satu majlis makan malam di Hotel Sheraton, Petaling Jaya malam tadi tetap ketat menutup mulut masing-masing.- MalaysiaGazette