Tun Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Jawatan Perdana Menteri adalah Ketua Eksekutif yang diperuntukan di bawah perlembangaan Persekutuan dan ia perlu segera dilantik bila terdapat kekosongan.

Pengamal undang-undang, Adzly Manas berkata, sehubungan dengan itu sesiapa yang mempunyai majoriti Ahli Parlimen atau mewakili kumpulan ini perlu mengadap Yang di-Pertuan Agong kerana Perlembagaan Persekutuan mensyaratkan supaya hanya seseorang yang mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat boleh dilantik sebagai Perdana Menteri.

Menurutnya, ia seperti mana yang tertakhluk di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Tambahnya, Perdana Menteri kemudian akan membentuk Kabinet baharu untuk menjalankan pentadbiran.

“Sesiapa yang mengadap Yang di-Pertuan Agong dan boleh membuktikan dia mendapat sokongan majoriti serta mengetuai Ahli-Ahli Parlimen ini, maka bolehlah dia mendapat perkenan Tuanku untuk dilantik menjadi Perdana Menteri.

“Apapun yang pasti bila ada kekosongan, jawatan tersebut perlu diisi secepat mungkin,” katanya pada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Adzly Manas

Menurut Adzly, perletakan jawatan berkenaan menyebabkan jemaah Kabinet kini ‘tiada’ dan tidak lagi berfungsi.

Krisis kepimpinan dan politik negara hari ini memuncak dengan pengumuman peletakan jawatan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Pejabat Perdana Menteri mengesahkan surat peletakan jawatan tersebut telah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada jam 1 petang tadi.

Beliau melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Surat peletakan jawatan telah dihantar ke ibu pejabat parti hari ini, menurut pejabat Pengerusi Bersatu. – Malaysia Gazette