Tuanku Muhriz Tuanku Munawir

SEREMBAN- Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir hari ini berkenan menerima menghadap Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun di Istana Hinggap, di Seremban.

Aminuddin, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan ketika ditemui media selepas mengadakan pertemuan yang berlangsung selama setengah jam itu berkata kunjungan berkenaan adalah bagi memberi penerangan kepada Baginda mengenai situasi politik semasa.

“Tuanku bertanyakan mengenai keadaan politik semasa, itu sahaja,” katanya dengan riak wajah tersenyum.

Beliau yang turut ditanya mengenai keadaan politik di Negeri Sembilan susulan perkembangan politik tanah air hari ini, menyifatkan ia masih lagi stabil.

“Okay, InsyaAllah. Doakanlah… Insya-Allah Negeri Sembilan okay,” katanya sambil menambah akan memaklumkan kepada media sekiranya terdapat sebarang perjumpaan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH kelak.

Terdahulu, kumpulan media yang mengetahui mengenai perkara berkenaan, berkumpul sejak 9 pagi.

Aminuddin yang mengenakan sut berwarna kelabu dan bersongkok hitam tiba di Istana Hinggap bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Razali Ab Malik pada pukul 10.27 pagi, kira-kira sembilan minit selepas keberangkatan tiba Tuanku Muhriz.

Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pada ketika ini, komposisi di Dewan Undangan Negeri (DUN) ialah 20 kerusi dikuasai PH manakala baki 16 kerusi dimiliki Barisan Nasional.

– Bernama