PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

BUKIT MERTAJAM – Seorang  wanita mengalami kecederaan di belakang badan selepas dipukul oleh dua lelaki yang menggunakan besi dalam kejadian samun di Masjid An-Nur Kampung Guar, Jalan Guar Jering di Kubang Semang, di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Supt Mohd Mustafa Bidin berkata, dalam kejadian pukul 3 petang semalam, mangsa berusia 65 tahun bersama dua lagi  wanita baru selesai kelas mengaji di masjid tersebut sebelum dua lelaki meluru masuk ke bahagian ruang solat wanita.

“Seorang daripada lelaki itu menghampiri mangsa sebelum terus meragut rantai emas dan menyebabkan warga emas itu menjerit meminta tolong, namun suspek telah memukul belakang badan wanita tersebut menggunakan sebatang besi.

“Manakala seorang lagi suspek yang membawa cangkul bertindak mengacu objek itu ke arah mangsa dan dua lagi wanita yang turut berada di situ, sebelum dua lelaki itu mengambil beg solat yang mengandungi telefon bimbit, beg duit, telekung dan kitab milik tiga wanita  tersebut,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, dua lelaki itu kemudiannnya melarikan diri dengan sebuah motosikal dan kamera litar tertutup yang terdapat di perkarangan masjid tersebut berjaya merakam wajah suspek berkenaan.

Beliau berkata, usaha mengesan dua lelaki itu giat dijalankan dan kes tersebut disiasat menurut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 kanun yang sama. – Bernama