Presiden Perkid Malaysia, Masridzi Sat bercakap pada sidang media mengenai kemelut politik negara di Pejabat Muafakat, Taman Melawati, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 27 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR : Kegagalan orang politik adalah punca sebenar negara huru hara, rakyat berpecah hingga terpaksa menyerahkan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sebagai pengaman dan memulihkan kerosakan yang berlaku.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid), Masridzi Sat berkata, rakyat dan YDPA terpaksa memikul beban dan kesan akibat kegagalan orang politik menjaga negara dengan adil dan saksama.

Katanya, baik blok politik manapun, mereka sudah gagal menyatukan rakyat dalam harmoni, Institusi Raja dihina, kuasa raja mahu dikurangkan, Perlembagaan dipermain-mainkan, wang rakyat semakin menipis sejak 22 bulan orang politik ini memerintah.

“Mereka tidak faham hak Raja-raja Melayu dan Perlembagaan malah serpihan Pakatan Harapan semalam memberitahu membentuk kerajaan dengan lebih 50 peratus daripada 90 kerusi yang dicadangkan adalah wakil rakyat bukan Islam, pilihan yang sangat teruk dan menolak Perlembagaan.

“Pembentukan kerajaan sementara interim tanpa komuniti politik pula dilihat mudarat dan membunuh demokrasi dan Perlembagaan.

“Dalam situasi sekarang, rakyat menyerahkan kepada kebijaksanaan YDPA untuk menentukan kedudukan negara, apa sahaja keputusan Agong diterima dengan hati terbuka,” katanya pada sidang tergempar bersama Sekretariat Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) hari ini di pejabat Pembela.

Antara yang hadir Presiden Pembela, Aminuddin Yahaya dan Penasihatnya, Ismail Mina Ahmad bersama pertubuhan bukan kerajaan Melayu Islam yang lain.

Terdahulu pada sidang media itu, Aminuddin membacakan lima agenda Pembela yang akan disampaikan kepada YDPA dengan harapan ia dipertimbangkan bagi menangani kemelut politik sekarang.

Antaranya adalah menyokong penuh keputusan YDPA dalam memberi penyelesaian; berdiri teguh di belakang YDPA dalam menjalankan amanah baginda; percaya keputusan itu dalam memastikan kepentingan Islam; kedudukan orang Melayu; Bumiputra dan warganegara tidak terjejas; menyembahkan suara rakyat agar YDPA dan jika tiada pilihan Pembela berharap Parlimen dibubar.

Dalam pada itu, Masridzi menegaskan pergolakan politik ini sebenarnya tercetus oleh dua kumpulan politik yang mencetus huru hara sejak tahun 1998 lagi, sehubungan itu, kami memohon agar dikembalikan kuasa rakyat bubar Parlimen untuk memilih pemimpin yang boleh memperbetulkan silap yang sudah berlaku.

“Sebelum ini mereka dakwa raja tiada tugas, wang banyak dibelanjakan tetapi akhirnya kepada YDPA inilah mereka datang merayu,” katanya.

Sementara itu, Ismail pula memberitahu isu kos mengadakan pilihan raya seperti yang diperkatakan mencecah RM500 juta sewajarnya tidak mengambil kira dengan kerosakan yang lebih teruk jika Perlembagaan tidak dipertahankan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast