Khairudin Aziz (baju hijau, dua dari kanan) bersama Setiausaha Kehormat PEMADAM Selangor, Daing Muhammad Reduan Bachok (baju putih kanan sekali) dan ahli DFM

KUALA LUMPUR – Lagu gubahan sekumpulan anak tempatan terpilih sebagai lagu rasmi sempena Hari Anti Dadah Sedunia, yang bakal dipersembahkan di Persidangan Antarabangsa Anti Dadah yang dianjurkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Amerika Syarikat pada 25 Mei ini.

Buah tangan tiga anak muda dari Persatuan Bebas Dadah Malaysia (DFM) bertajuk Drug Free Anthem itu dicipta sejak 2013 sebelum ia mula ditularkan pengguna media sosial dan menarik perhatian UN.

DFM diasaskan aktivis masyarakat, Khairudin Aziz, 41, yang menggunakan muzik dan seni sebagai platform untuk menyampaikan mesej pencegahan dadah kepada rakyat khususnya generasi belia.

Beliau juga bakal mengharumkan Malaysia setelah diumumkan antara lima penerima yang terpilih untuk Anugerah Drug Free Hero pada persidangan itu nanti.

Pemilihan Khairudin difahamkan berdasarkan sumbangannya sebagai aktivis cegah dadah yang aktif sejak 10 tahun lalu, pengiktirafan itu dilakukan mewakili Asia manakala lima lagi penerima mewakili benua masing-masing.

Menurut Khairudin, lagu berkenaan akan dipersembahkan di hadapan lebih 30 delegasi negara di bawah PBB seluruh dunia serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pencegahan dadah.

“Kami dijangka berada di sana selama seminggu dan program bermula pada 25 Mei ini.

“Lagu gubahan DFM ini sudah diperdengarkan kepada masyarakat menerusi lebih 200 program pencegahan dadah yang kami anjurkan.

“Sukarelawan yang mengikuti DFM sudah mencecah 10,000 orang dan kami berharap dapat menyampaikan mesej berkesan mengenai bahaya dadah melalui muzik,” katanya kepada wartawan.

Beliau menambah DFM akan menemui peminat di Dataran Pahlawan Melaka pada 28 Februari ini sempena Hari Anti Dadah Kebangsaan.

“Sumbangan tiket itu nanti akan digunakan bagi membantu DFM meneruskan perjuangan mencegah dadah khususnya di kalangan generasi muda.

“Sejak 10 tahun DFM diwujudkan, dianggarkan 40 peratus masalah penagihan dadah berjaya dikurangkan, generasi muda mula beralih kepada muzik berbanding terjebak kepada masalah dadah yang merugikan,” katanya.

Beliau turut berkongsi pengalaman DFM pernah menghalang seorang bapa daripada menjual anaknya berusia tiga tahun demi dadah serta menyelamatkan tiga beradik yang terumbang ambing kerana kedua ibu bapanya penagih tegar.

Bagaimanapun, Khairudin meminta bantuan orang ramai untuk menghulurkan bantuan bagi menampung kos DFM menghadiri Persidangan Anti Dadah di Amerika Syarikat yang dianggarkan berjumlah RM50,000.

“Seramai lima ahli DFM serta dua wakil daripada PEMADAM ke Amerika Syarikat.

“DFM berhasrat untuk membawa pulang ilmu dan pengalaman mencegah dadah yang bakal diperolehi di persidangan itu bagi dimanfaatkan kepada rakyat negara ini.

“DFM tidak menerima dana daripada mana termasuk daripada Kementerian Belia dan Sukan sebelum ini.

“Ahli kami tidak memiliki sumber pendapatan lain kerana memberi tumpuan penuh kepada aktiviti kemasyarakatan dan program pencegahan rasuah ke semua sekolah dan universiti,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan dialu-alukan ke akaun Bank Islam Drug Free Youth Assosiation 12270010006300. – MalaysiaGazette