PERKEMBANGAN terkini politik negara benar-benar mengecewakan. Kuasa sedang dicatur oleh segelintir pemimpin yang sudah lupa siapa diri mereka sebenarnya.

Mereka lupa yang mereka diangkat untuk membela rakyat. Malangnya hari ini mereka memilih bagaikan memijak-mijak harapan rakyat tersebut.

Perkembangan yang lebih baik iaitu dari sudut ekonomi, pendidikan, kesihatan, keselamatan dan keharmonian hidup sebagai masyarakat majmuk yang diharapkan dibalas dengan pengkhianatan, kesombongan, dan perpecahan.

Lebih mengecewakan apabila para pemimpin berpolitik seumpama negara ini milik mereka sepenuhnya.

Berunding, bersetuju dan di masa yang sama khianat-mengkhianati terus disajikan kepada rakyat dan dunia.

Tingkah laku sebahagian pemimpin politik hari ini bagai telah hilang adab dan perasaan malu. Pemimpin apakah mereka ini?

Harapan Musnah

Segala permasalahan ini bermula dari kegagalan para pemimpin menginsafi diri mereka sejak dari hari pertama mereka membentuk kerajaan.

Kegagalan melaksanakan hampir keseluruhan janji manifesto adalah punca utama keruntuhan kerajaan.

Berjuta rakyat kecewa dan lupakah pemimpin yang berjuta rakyat kecewa itu melaknat mereka. Rakyat tidak mahu dengar alasan itu dan ini. Apa yang rakyat mahukan ialah kesungguhan memperbaiki segala kelemahan yang ada.

Di kala rakyat khususnya golongan B40 mengikat perut, membuat dua atau tiga kerja sehari demi memastikan ada nasi di meja untuk anak dan isteri, bil air dan api serta sewa rumah dapat dibayar, pemimpin pula ke sana ke mari dengan gaya mewah dan megah.

Kesombongan kerajaan ketika mendepani perkara-perkara sensitif berkaitan orang Melayu dan Islam turut menyebabkan rakyat khususnya orang Melayu menolak kerajaan dan ini boleh dilihat melalui kekalahan demi kekalahan dalam PRK.

Walaupun berbagai naratif yang digunakan dan untuk tujuan apa sekalipun, isu dan sensitiviti kaum dan agama tidak wajar dipermain dan dipersenda.

Sikap terlalu menjaga hati kaum minoriti dan mengambil sikap pilih kasih kepada kaum majoriti telah membuatkan orang Melayu benar-benar kecewa dan marah.

Adalah satu kesilapan besar jika mereka yang sedikit atau segelintir Melayu yang lupa diri bersangka orang Melayu itu bodoh, lemah dan pengecut.

Benar Melayu tidak memegang ekonomi negara, benar orang Melayu masih dibelenggu kemiskinan, benar orang Melayu gementar bila ditakut-takutkan tetapi ingat sehina-hina Melayu dalam dirinya ada iman ada Tuhan.

Jangan dicuba dan jangan terus-terusan menekan dan menghina orang Melayu.

Sejarah membuktikan, walau ratusan tahun dijajah, Melayu tidak pernah hilang akidah, walau ratusan kali berperang, Melayu tidak pernah hilang pejuangnya.

Jangan disangka Melayu itu tiada bijak pandainya. Jangan disangka Melayu itu tiada warisnya yang kaya dan berhati mulia. Jangan disangka Melayu itu tiada panglima dan pendekarnya. Jangan disangka Melayu itu tiada lagi bersama rajanya.

Membina Masa Depan Melayu dan Negara

Kemelut politik hari ini perlu ditamatkan segera. Kerajaan yang dilantik oleh rakyat yang meruntuhkan kerajaan itu sendiri.

Jika gagal menyelesaikan segala kemelut dengan tertib dan muktamad, maka lebih baik serahkan kembali kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.

Itu lebih bermaruah dari terus-terusan berunding, tawar menawar, khianat-mengkhianati dan sebagainya.

Cukup. Hentikan semua ini. Kalian bukan pemilik negara ini. Kalian diangkat oleh rakyat untuk bekerja buat rakyat. Janganlah kalian bersangka bahawa kalian hebat dan boleh sewenang-wenangnya mengatur itu dan ini tanpa mengambil kira perasaan rakyat.

Malaysia perlukan barisan ahli politik yang berintegriti. Di kala negara tetangga dan dunia terus mengorak langkah memajukan negara mereka.

Malaysia terus dihantui perebutan kuasa oleh pemimpin-pemimpin yang boleh dirumuskan sebagai gila kuasa.

Kembalikan hak membentuk kerajaan kepada rakyat. Pasti rakyat sanggup menerima hakikat untuk membelanjakan RM500 juta bagi mengendalikan pilihan raya dari terus bernaung di bawah kerajaan yang lemah, gagal menunaikan janji, berbalah saban hari dan segala mungkin.

Insaflah wahai pemimpin. Terlalu banyak kerosakan yang telah kalian lakukan dan terlalu banyak hati rakyat yang kalian kecewakan.

Buat rakyat Malaysia, sekiranya Parlimen dibubarkan, janganlah kalian angkat pemimpin yang telah terbukti korup, perkauman, pemecah belah masyarakat, pengkhianat agama, tidak berwawasan dan segala yang menjengkelkan.

Pilihlah pemimpin yang berintegiriti, berwawasan, mendukung tolerasi antara kaum dan agama dan ikhlas berkhidmat untuk rakyat dan negara.

Untuk itu, parti-parti politik sedia ada perlulah memperbaiki amalan semasa. Ramai di luar sana putera dan puteri negara tanpa mengira agama dan bangsa yang berwawasan, berintegriti, mendukung sikap toleransi antara kaum dan agama.

Sesungguhnya Malaysia memerlukan barisan kepimpinan gabungan lama yang terpuji dan baharu yang berintegiti. Sewajarnya mereka yang bermasalah perlu berehat atau direhatkan. Di sinilah peranan parti untuk memilih yang terbaik dituntut.

Selagi Malaysia gagal membariskan pemimpinnya yang berintegriti, bersih dan berwawasan, selagi itulah Malaysia akan terus dirundung tragedi.

Bangkitlah semua dan zahirkan harapan bersama untuk melihat Malaysia maju, makmur dan bahagia. Buat seluruh rakyat Malaysia mari kita lakukannya bersama. – MalaysiaGazette

Penulis ada Profesor di Pengurusan Strategik Universiti Utara Malaysia

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

4 Komen

  1. kalau serah pada rakyat pun siapa yang rakyat nak pilih. kalau dah tiada pilihan rakyat mungkin boikot pilihan raya. akhirnya siapa yang dapat. perompak penyamun juga yang akan memerintah. rakyat cuma menunggu satu saja. ia itu bala dari langit. biar semua hancur. disana ada perkiraan adil.

  2. Rakyat memilih dari pangkah peti undi, dulu rakyat sudah pilih PH, korang sendiri yang berkecamuk, lihat pada Selangor dan Kelantan, walaupun rakyat telah memilih pembangkang mereka terus mentadbir dengan aman dan damai.Kali ini biar rakyat memilih sekali lagi, walaupun berabis berbillion sekali pun untuk PRU itu adalah duit rakyat bukan duit ahli-ahli politik semuanya.

  3. Ada rakyat membuat pinjaman bank untuk melabur saham, unit trust dsb. 2 tahun pasaran saham terus menjunam, ramai menanggung kerugian yang sangat teruk.

    Tak usahlah lagi mengangkat menteri yang bodoh2 belaka lagi tiada integriti!

Comments are closed.