Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Pekerja boleh memilih untuk mengekalkan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada kadar 11 peratus atau membiarkan kadar caruman tersebut dikurangkan kepada tujuh peratus seperti yang diumumkan Perdana Menteri Interim Tun Dr. Mahathir Mohamad, hari ini.

KWSP dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, bagi pekerja yang mahu mengekalkan caruman pada kadar 11 peratus, mereka perlu melengkapkan Notis Pilihan Mencarum Melebihi Kadar Berkanun KWSP 17A (Khas) yang boleh diperoleh melalui laman sesawang kwsp.gov.my. Notis ini perlu dikemukakan kepada majikan masing-masing untuk diserahkan kepada KWSP.

Tambahnya, kadar caruman berkanun baharu itu akan berkuatkuasa 1 April ini sehingga akhir tahun 2020 dan hanya tertakluk kepada ahli yang berumur 59 tahun dan ke bawah.

Kadar caruman pekerja bagi ahli yang berumur 60 tahun dan ke atas tidak berubah.

“Keputusan untuk mengurangkan kadar caruman berkanun KWSP adalah berikutan pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan kerajaan bertujuan untuk mengurangkan kesan kegawatan ekonomi yang berpunca daripada penularan global COVID-19 sejak kebelakangan ini.

“Majikan hendaklah memastikan amaun caruman yang betul ditolak daripada upah/gaji pekerja berdasarkan kadar caruman baharu seperti dalam Jadual Ketiga, Akta KWSP 1991,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, ahli dan golongan majikan boleh rujuk laman sesawang KWSP di kwsp.gov.my, talian telefon Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000 atau melawat mana-mana cawangan KWSP.

Dr. Mahathir ketika mengumumkan pakej rangsangan ekonomi berkata, kadar caruman KWSP akan dikurangkan sebanyak empat peratus dan ini memberikan lebih kuasa beli kepada pencarum sehingga RM10 bilion sehingga akhir tahun ini.- MalaysiaGazette