KUALA LUMPUR – “Mungkin hari ini Malaysia ada Perdana Menteri baru,” kata Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang kelihatan optimistik dan positif dengan perkembangan semasa politik tanah air dengan menganggap kemungkinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin bakal dinobat sebagai Perdana Menteri kelapan.
Beliau yang merupakan Setiausaha Politik Anwar menyifatkan perbincangannya dengan ketuanya itu sebagai positif.
“Majlis Diraja sedang bersidang jadi dikhabarkan dalam sejam kita (akan) tahu keputusan.
“Peguam Negara juga dipanggil, tapi tak tahulah insyaAllah. Nampaknya positiflah, keadaan ceria, Datuk Seri (Anwar Ibrahim) ceria, keluarga ceria, saya pun ceria,” katanya kepada pemberita di luar kediaman Anwar di Segambut.
Farhash tiba di kediaman Anwar pada 10:23 pagi tadi bagi bermesyuarat dengan pemimpin PKR itu.
Sebelum masuk ke kediaman Anwar, Farhash sempat berseloroh dengan media dengan berkata: “Manalah tahu petang ini (Anwar) angkat sumpah.”
Pada hari ini Raja-raja Melayu mengadakan mesyuarat khas Majlis Raja-Raja di Istana Negara yang dipercayai bagi membincangkan perkembangan politik semasa tanah air susulan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hilang kuasa berikutan tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar daripada PH. – MalaysiaGazette