Amir Hamzah Azizan

KUALA LUMPUR- Diskaun elektrik sebanyak 15 peratus bagi tempoh enam bulan untuk sektor yang terjejas akibat Covid-19 tidak memberi sebarang impak kepada kewangan Tenaga Nasional Bhd. (TNB).

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Amir Hamzah, diskaun tersebut menggunakan dana daripada Tabung Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE).

“TNB juga akan membuat pelaburan sebanyak RM13 bilion tahun ini bagi menyuntik pertumbuhan industri elektrik.

“Ini merangkumi RM11 bilion seperti yang dirancang untuk tahun 2020, dan pelaksanaan projek bernilai tinggi yang dipercepatkan bernilai kira-kira RM2 bilion.

“Jumlah RM2 bilion ini antara lain meliputi projek pemasangan lampu LED bagi lampu jalan, projek rangkaian penghantaran dan pembahagian serta pemasangan sistem solar atas bumbung,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kelmarin, Perdana Menteri Interim Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan diskaun 15 peratus bagi penggunaan elektrik untuk sektor yang terjejas akibat wabak Covid-19 dalam pakej rangsangan ekonomi 2020.

Menyentuh mengenai prestasi suku pertama tahun ini, TNB katanya menjangkakan penularan wabak Covid-19 akan memberi kesan terhadap pertumbuhan permintaan elektrik terutamanya bagi sektor perindustrian.

Ini kerana impak wabak tersebut kepada sektor berkaitan pelancongan dan pengilangan amat ketara kerana berlakunya gangguan dalam rantaian bekalan global dan jangkaan kelembapan ekonomi China.

Namun begitu, TNB percaya prestasi kumpulan akan kekal berdaya tahun untuk tahun kewangan 2020.

TNB mencatatkan peningkatan Keuntungan Selepas Cukai (PAT)  sebanyak 18.7 peratus kepada RM4.45 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 daripada RM3.75 bilion dalam tempoh yang sama tahun 2018.

Pendapatan kumpulan meningkat 1.1 peratus kepada RM50.94 bilion daripada RM50.39 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu.

Peningkatan prestasi syarikat ini didorong terutamanya oleh rosot nilai yang lebih rendah dan sumbangan positif daripada subsidiari antarabangsa TNB yang direkodkan pada TK2019.

Penjualan elektrik Kumpulan meningkat 3.5 peratus dalam tempoh pelaporan kepada RM49.02 bilion, daripada RM47.36 bilion pada 2018.

Dari segi Gigawatt jam (GWh), jualan elektrik berkembang sebanyak 2.7 peratus kepada 123,252.0 GWh, sejajar pertumbuhan permintaan sebanyak 2.7 peratus di Semenanjung Malaysia, pada tempoh yang sama.- MalaysiaGazette