A. Kadir Jasin

KUALA LUMPUR – Penyelesaian kemelut politik yang sedang melanda negara terletak di tangan pihak yang terlibat.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk A. Kadir Jasin berpendapat tiada sesiapa pun yang mahu memanjangkan lagi perkara itu kerana ia tidak membawa kebaikan untuk negara dan rakyat.

“Ia tak baik juga untuk parti politik sebab kalau berterusan rakyat jelata akan hilang keyakinan kepada politik lagi susahlah,” katanya kepada pemberita di hadapan pintu masuk kediaman Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad di The Mines Residence hari ini.

Kadir yang mengakui isu semasa itu merupakan cabaran kepada wartawan berkata, mereka yang membuat liputan sepatutnya menulis momoir mengenainya.

“Kamu sebahagian daripada apa yang sedang berlaku di negara ini, Pakatan Harapan telah memberikan kamu kebebasan media.

“Jikalau PH tidak kembali memerintah semula pun, saya takut kamu boleh kehilangan kebebasan yang telah diberikan mereka semasa memerintah.

“Ingat ‘freedom of press’ adalah manifesto PH, dan kita dalam proses untuk menyediakan Majlis Media yang mana kalau kerajaan baharu mahu teruskan boleh teliti.

“Semua terjejas dalam situasi hari ini, so go back to you guys write your own memoir of your event for the last few days (bergantung kepada kamu untuk menulis memoir mengenai liputan yang kamu lakukan sejak beberapa hari lalu),” katanya.-MalaysiaGazette