Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Hospital Pantai Kuala Lumpur hari ini mengesahkan tiga kes baharu Covid-19 (koronavirus) di hospital tersebut.

Dalam kenyataan hari ini, kes pertama merupakan seorang wanita Jepun berusia 41 tahun yang telah meneruskan perjalanan ke Indonesia baru-baru ini dan merupakan kes ke-24 di Malaysia.

Pesakit itu telah dimasukkan ke Hospital Pantai Kuala Lumpur pada 20 Februari lalu selepas mengalami gejala gastrousus termasuk demam dan rehidrasi, katanya.

Tambah kenyataan itu, gejala itu berkembang sebelum pesakit menjalani ujian Covid-19 atas nasihat perunding pada 26 Februari lalu.

Wanita itu kemudian dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan dan pengawasan lanjut sebelum diuji positif pada hari berikutnya.

Rentetan berita itu, Hospital Pantai KL telah menutup kesemua bilik rawatan dan wad yang menempatkan wanita itu pada hari yang sama dan membersihkan kawasan tersebut secara teliti dengan garis panduan kawalan jangkitan ketat.

Kesemua kakitangan dan pesakit yang telah berada dalam kontak pesakit wanita Jepun itu telah dikesan kontak dan dikuarantinkan serta diambil ujian saringan pengimbasan Covid-19 ke atas mereka.

Namun kesemua mereka disahkan negatif Covid-19 sehingga hari ini kecuali seorang pelajar jururawat atau pelatih dan seorang lagi pesakit yang telah berkongsi bilik dengan wanita Jepun itu.

Pelajar jururawat itu yang merupakan kes ke-27 Malaysia merupakan kontak pesakit wanita Jepun itu pada 21 dan 22 Februari lalu.

Oleh kerana pesakit itu tidak memenuhi kriteria Covid-19 yang ditetapkan pada masa tersebut, jururawat berkenaan tidak dikehendaki diletakkan di bawah protective personal equipment (PPE) atau Peralatan Peribadi Terlindung.

Jururawat itu kemudian telah dimasukkan ke HKL pada 29 Februari lalu.

Kesemua kakitangan dan pesakit yang menjadi kontak dengan pelajar jururawat itu telah dikesan kontak dan dikuarantin.

Ujian awal Covid-19 ke atas mereka menunjukkan negatif dan keadaan mereka akan terus dipantau rapi setiap masa.

Pesakit ketiga merupakan kes ke-29 nagara ini yang merupakan wanita tempatan berusia 35 tahun yang berkongsi bilik dengan pesakit wanita Jepun.

Pesakit ketiga itu kini diuji positif Covid-19 pada 29 Februari lalu dan kini diletakkan dalam wad isolasi Hospital Sungai Buloh.

Hospital Pantai KL telah telah mengendalikan segala kes dengan segera dan bertepatan mengikut undang-undang dan garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Hospital berkenaan juga mengamalkan pelbagai langkah pencegahan termasuk mengehadkan masa kemasukan ke hospital dan pemeriksaan suhu serta gejala kesemua pelawat yang datang ke hospital.

Oleh itu, perkhidmatan klinikal harian pesakit luar hospital berkenaan tidak terjejas dan pesakit boleh meneruskan penjagaan mereka yang ada di hospital.

Hospital Pantai akan terus mematuhi pematuhan ketat dasar kawalan jangkitan dan proses pematuhan sepenuhnya dengan langkah pencegahan yang ditetapkan oleh KKM untuk memastikan keselamatan kakitangan dan pesakit terjamin.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast