Surat Terbuka Kepada Perdana Menteri
Tan Sri Muhyiddin Yassin,
Izinkan saya mencoretkan warkah ini sebagai rakyat Malaysia biasa yang mengharapkan Malaysia segera dipulihkan di mana perhatian dan komitmen Tan Sri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) amat diperlukan.
Adalah diketahui bahawa suhu politik negara masih panas. PN di bawah kepimpinan Tan Sri dan pasukan tidak boleh leka dengan puji dan puja yang pasti tidak akan kunjung reda untuk tempoh beberapa minggu atau bulan ini.
Agenda reform yang dimulakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) lalu harus diteruskan tetapi dengan pendekatan, strategi dan inisiatif lebih telus, ikhlas dan menyeluruh.
Sewajarnya blok pembangkang iaitu PH menyokong penuh usaha reform yang bakal kerajaan PN usahakan. Agenda reform negara perlu jaih lebih besar dan penting dari agenda politik kepartian.
Usaha memastikan tadbir urus negara cekap, bersih dan mesra rakyat wajar menjadi agenda bersama seluruh rakyat negara ini tanpa mengira parti politik, kaum mahupun agama.
Agenda reform tidak wajar hanya menjadi modal politik atau retorik pemimpin dan parti politik atau kerajaan sahaja.
Ia perlu diterjemahkan sepenuh menerusi komitmen oleh semua iaitu di setiap peringkat atau aspek ekosistem tadbir urus negara.
Tan Sri,
Reform Jatidiri, Integriti & Tadbir Urus:
Kerajaan perlu memberi penekaanan serius terhadapa aspek pengukuhan jatidiri setiap penjawat awam dan juga rakyat.
Ia perlu bermula dari Perdana Menteri itu sendiri, Ketua Setiausaha Negara, menteri-menteri, ketua-ketua setiausaha kementerian, pegawai atasan, staf pentadbiran hinggalah pembantu am pejabat di kementerian dan agensi-agensi berkaitan, begitu juga di sektor swasta dan rakyat keseluruhan.
Defisit jati diri ini telah menyebabkan negara dalam keadaan membimbangkan dan tidak mustahil musnah.
Lihatlah bagaimana lambang-lambang negara diperleceh dan dihina. Rukun negara bagaikan telah hilang dari dada dan hati kebanyakan rakyat khususnya generasi muda negara ini.
Kepercayaan kepada Tuhan dihina di mana senstiviti agama diperkotak katik.
Kesetiaan kepada raja dan negara dipersenda di mana raja dicemuh sewenang-wenangnya.
Keluhuran perlembagaan dipersoal dan dicabar tanpa rasa bersalah khususnya oleh mereka yang buta sejarah.
Kedaulatan undang-undang bagaikan tidak diamal dengan adil, telus dan saksama kepada seluruh rakyat tanpa mengira status mereka baik miskin atau kaya, orang berpengaruh atau rakyat biasa.
Akhir sekali iaitu kesopanan dan kesusilaan yang semakin menjauh khususnya di antara orang muda dengan tua, satu bangsa dengan bangsa lain mahupun satu agama dengan agama lain.
Reform juga harus diberi penekanan penuh terhadap aspek integriti seluruh jentera kerajaan dan swasta serta rakyat.
Jangan sesekali mengambil pendekatan berpilih-pilih dalam menangani isu integriti seperti rasuah, pecah amanah dan seumpamanya.
Selagi tidak ditegakkan keadilan kepada semua dalam agenda reform integriti negara baik di sektor awam, swasta dan rakyat keseluruhannya.
Selagi itulah Malaysia ini tidak akan bebas dari perasuah, penerima rasuah, pemecah amanah yang bukan hanya berkaitan wang ringgit tetapi dari aspek tanggungjawab kepada kerja, masa, diri, keluarga, masyarakat, bangsa, agama, negara dan sebagainya.
Tan Sri,
Reform Sektor Pendidikan:
Sektor pendidikan rendah, menengah dan tinggi perlu disemak semula dan penambahbaikkan perlu dilakukan segera. Kelemahan di berbagai aspek perlu ditangani secara objektif dan total.
Bermula dari isu prasarana sekolah khususnya sekolah luar bandar dan bandar yang menjadi tumpuan pelajar dari keluarga B40 hinggalah kualiti pelajar dan guru yang mengajar perlu dikaji dan diperbaiki segera akan segala kelemahan yang ada.
Mata pelajaran, kualiti dan impak akan kaedah, peralatan pembelajaran dan pengajaran perlu diketahui serta ditanda aras dengan sistem pendidikan sekolah rendah dan menengah terbaik dunia.
Pastikan juga penerapan nilai-nilai terpuji berteraskan agama serta nilai murni sejagat diberi keutamaan.
Di masa sama penekanan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, matematik, dan ekonomi dipertingkatkan.
Perkara sama harus dilihat di sektor pendidikan tinggi.
Sebagai contoh, jumlah subjek terlalu banyak untuk ijazah sarjana muda bidang perniagaan di negara barat sekitar 24 berbanding di Malaysia sekitar 40 subjek.
Jumlah subjek yang terlalu banyak ini telah mengekang pelajar untuk berasimilasi dengan masyarakat.
Keadaan ini turut menghalang mereka dari melakukan kerja sambilan yang pastinya sebahagian dari pelajar amat perlukan untuk menampung kehidupan di kampus di samping menimba pengalaman.
Begitu juga dengan kekangan untuk mereka melakukan kerja-kerja bakti siswa.
Aspek kualiti mata pelajaran, pengetahuan dan pengalaman pensyarah juga perlu turut diberi perhatian serius. Pensyarah perlu berpengtahuan luas dan jauh dihadapan pelajarnya dari aspek ilmu teori dan amali iaitu industri.
Begitu juga akan aspek prasarana, peralatan pengajaran dan pembelajaran di universiti yang pastinya ada yang tidak terkini sejajar dengan perkembangan bidang dan teknologi semasa.
Sesungguhnya sektor pendidikan rendah, menengah dan tinggi amat memerlukan usaha bersepadu dan menyeluruh.
Guru besar, pengetua, pengarah dan naib canselor termasuk mereka di kementerian perlu berwawasan, berjiwa kental dan bersungguh-sungguh untuk melakukan reform di sektor pendidikan.
Sesungguhnya sektor pendidikan adalah nadi utama kepada kejayaan reformasi total yang diimpikan oleh negara dan seluruh rakyat.
Budaya berbelanja berhemat dan terfokus kepada bidang kebitaraan universiti contohnya perlu diutamakan.
Era meraikan orang politik, menteri atau kenamaan yang kadang kala jauh tersasar dari kebitaraan universiti perlu dihentikan serta merta kerana ia membazir wang pembayar cukai.
Tan Sri,
Reform Sektor Awam:
Kerajaan dituntut mengadakan total reform dengan tidak berkompromi dengan sebarang salah laku warga agensi-agensi beruniform khususnya yang dipertanggungjawabkan untuk menguatkuasakan undang-undang.
Begitu juga dengan agensi-agensi kerajaan lain yang berurusan dengan rakyat serta syarikat.
Bersihkan sektor awam dari sebarang elemen rasuah dengan memperkenalkan langkah pencegahan dan pendidikan berterusan.
Adalah amat mendukacitakan apabila seorang rakyat yang jujur dan memilih untuk tidak memberi rasuah, dinafikan haknya untuk mendapat peluang yang ada kerana pegawai kerajaan yang ia berurusan itu peminta atau penerima rasuah.
Dari satu sudut pula, agensi penguatkuasa dan agensi-agensi lain perlu sentiasa berada dilapangan untuk tujuan memantau kawasan seliaan mereka.
Budaya bertindak apabila ada aduan harus dihapuskan. Agensi penguatkuasa dan agensi-agensi lain yang berkaitan mesti menguatkuasakan undang-undang dan di masa yang sama mendidik masyarakat.
Faktor-faktor memupuk budaya integriti terpuji dan bebas rasuah ini perlu dipupuk sejak dari peringkat paling rendah ke peringkat paling tinggi iaitu bermula dari sekolah pendidikan awal kanak-kanak, rendah, menengah hinggalah universiti.
Kejayaan reform sektor aeam termasuk bidang pendidikan ini tidak wajar hanya diukur dari kedudukan negara dalam PISA mahupun ranking universiti dalam ranking antarabangsa.
Usaha membina karaktor terpuji dengan akhlak mulia perlu diberi perhatian serius.
Seperkara lagi iaitu sebagai contoh, pendekatan sekolah yang ‘terpaksa’ memberi tumpuan kepada kelas pandai sahaja di mana kurang memberi perhatian kepada kelas dengan pelajar lemah akademik atas alasan tidak mahu belajar perlu diperbetulkan segera.
Di sinilah antara punca utama kelemahan sistem pendidikan negara iaitu apabila diskriminasi diamalkan secara terbuka terhadap pelajar pandai dan kurang pandai, sekolah asrama penuh dan sekolah harian dan sebagainya.
Sebagai sebuah institusi pendidikan, usaha perlu dilipat ganda untuk memastikan pelajar lemah dapat dibimbing, diransang dan dimotivasi hingga mereka juga berminat untuk belajar bersungguh-sungguh dan berjaya dalam bidang yang mereka minati baik akademik, kemahiran dan sebagainya.
Ini adalah kerana sektor pendidikanlah yang akan membekalkan tenaga kerja baik di sektor awam mahupun swasta.
Tan Sri,
Reform Ekonomi:
Faktor ini adalah petunjuk utama kepada kejayaan sesebuah negara.
Pastinya perkembangan ekonomi yang baik perlu menjadi keutamaan kerajaan dan negara.
Contohnya, Dasar Ekonomi Rakyat & Negara (DERN) wajar dibentuk.
Inisiatif tidak harus tertumpu kepada agenda peningkatan penguasaan ekuiti Bumiputera sahaja tetapi pendapatan per kapita rakyat khususnya golongan B40 perlu meningkat dan terus meningkat.
Kejayaan aspek ekonomi rakyat dan negara harus diukur dari sudut peningkatan kuasa beli rakyat dan taraf hidup rakyat secara keseluruhan iaitu setanding dengan negara maju lain.
Inisiatif menarik pelabur asing di samping pelabur tempatan atas tujuan mencipta peluang pekerjaan, pengembangan dan pemindahan pengetahuan serta teknologi harus terus diperhebat.
Produktiviti negara tidak wajar diukur dari aspek pengeluaran industri dari bilangan pekerja sahaja tetapi termasuk juga bilangan rakyat yang boleh berkerja tetapi tidak bekerja.
Faktor ini wajar diambil kira kerana ia mampu memberi ‘tekanan sihat’ kepada semua pihak berkaitan untuk berusaha lebih keras bagi memastikan rakyat yang boleh berkerja dapat berkerja.
Dengan kata lain ia akan mengurangkan kadar pengangguran rakyat yang boleh dikaitkan juga dengan pengurangan kadar jenayah.
Inisiatif perlu digembeling agar kemakmuran ekonomi rakyat dapat dibentuk dan diukur dengan kemampuan mereka memiliki rumah sendiri, kenderaan sendiri atau akses kepada pengangkut awam yang cekap, pendidikan berkualiti dan khidmat kesihatan dan keselamatan berkualiti tinggi.
Dengan kata lain, pembangunan dan kemajuan ekonomi negara harus dilihat dari taraf hidup rakyat yang berkualiti tinggi dan jurang dari segi kualiti hidup di antara golongan B40 berbanding M40 mahupun T20 tidak terlalu jauh berbeza.
Tan Sri,
Kesimpulannya, kerajaan PN harus berjiwa besar dalam meneruskan agenda reform Kerajaan PH yang tidak berjaya direalisasikan sepenuhnya.
Sewajarnya seluruh jentera kerajaan dan rakyat dan sewajarnya bawa bersama pemimpin dan parti politik dari blok pembangkang berkerja bersama-sama dalam agenda reform negara ini.
Memastikan negara bersih dari rasuah, baik dalam kalangan agensi penguatkuasaan mahupun mana-mana institusi kerajaan dan swasta adalah tanggungjawab kita bersama.
Begitu juga dengan sektor pendidikan baik di peringkat rendah, menengah mahupun universiti perlu segera di reform.
Inisiatif meningkatkan ketinggian akhlak pelajar di samping kecemerlangan akademik mereka perlu digembeling secara bersepadu.
Amalan semasa yang kurang sihat yang bersifat meraikan pihak-pihak tertentu (political masters) atas tujuan kepentingan diri dan kedudukan harus dihentikan.
Bebaskan sektor pendidikan atau apa juga agensi dari budaya menjadi tempat pemimpin politik meraih laba politik atau kepimpinan institusi itu memperoleh manfaat peribadi seperti kenaikan pangkat atau mengekalkan jawatan.
Kenaikan pangkat atau kekal jawatan harus diukur berdasarkan kemampuan individu itu memacu institusinya hingga menjadi cemerlang dan terkemuka dalam bidang kebitaraanya.
Dengan kata lain, reform sektor awam perlu disegerakan. Cara kerja lama tidak wajar terus diamalkan hari ini. Cekap, Cepat, Ceria (3C) mungkin boleh menjadi asas dalam agenda reform sektor awam.
Kepimpinan agensi-agensi kerajaan perlu hentikan budaya mengikut prosedur tanpa ada rasa perlu memperbaiki sistem penyampaian walaupun tahu amat menyusahkan rakyat.
Perkembangan Internet of Things (IoT) perlu dimanfaatkan sebaiknya. Hapuskan budaya mendukung birokrasi yang terkenal antara punca utama kelemahan sistem penyampaian kerajaan.
Agenda reform ini perlu meliputi agensi-agensi berkaitan orang Islam juga agar peranan mereka dalam memajukan orang Islam dapat dilipat gandakan.
Begitu juga dengan agenda reform ekonomi rakyat dan negara. Kerajaan perlu bangunkan segera dasar pembangunan ekonomi negara yang inklusif dan komprehensif.
Sektor baru dalam cabang ekonomi negara perlu dikenal pasti dan di masa yang sama terus memperkukuh teras ekonomi semasa negara iaitu sektor perkhidmatan, pembuatan dan perkilangan.
Segala kekangan contohnya dari segi peraturan yang lapuk atau penuh dengan birokrasi yang menghalang peningkatan produktiviti yang masih diamalkan hingga menyebabkan pelabur lari atau pergi ke negara lain harus ditangai secara total.
Dengan kata lain, kerajaan harus melancarkan ‘perang’ kepada perasuah dan penerima rasuah, sistem pendidikan yang gagal melahirkan modal insan bertaraf negara maju dan sistem penyampaian yang lemah atau sarat dengan birokrasi yang menghalang peningkatan produktiviti ke tahap maksimum.
Rakyat pasti akan terus memberi mandat kepada kerajaan PN jika mereka dapat melihat reform sektor pendidikan, awam dan ekonomi ini berjaya atau menampakkan hasil positif menjelang PRU 15 akan datang.
Jika gagal maka rakyat wajar menghukum PN dan memberi peluang sekali lagi kepada PH atau blok baru pakatan parti politik yang mungkin akan muncul.
Dalam konteks PH, pastinya PH akan lebih bersedia menjadi kerajaan yang lebih baik selepas kegagalan pertamanya.
Apa yang paling penting, reform perlu dilakukan oleh kerajaan PN demi memastikan negara terus maju dan rakyat dapat menikmati kehidupan berkualiti.
Akhir kata, selamat bertugas dan berbaktilah bersungguh-sungguh Tan Sri dan pasukan. Rakyat Malaysia pasti akan bersama kalian dalam agenda reform negara kita ini.
Sekian dan terima kasih. Saya mohon setinggi-tinggi kemaafan jika ada kecelaan bahasa dan adab saya dalam warkah ini.
Prof. Dr. Haim Hilman
Rakyat biasa & pendidik