Veteran UMNO
Abdul Aziz Rahman

KUALA LUMPUR – Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) menaruh harapan kerajaan baharu Perikatan Nasional (PN) dapat meneruskan semula sesi debat Parlimen Mahasiswa yang terhenti lebih dua tahun.

Debat Parlimen Mahasiswa yang dicetuskan Mubarak sejak 2015, telah melahirkan lebih 600 alumni berpengalaman daripada program itu yang diadakan pada 2016 hingga 2017.

Menurut Presidennya, Tan Sri Abdul Aziz Rahman, Parlimen Mahasiswa itu diperkenalkan bertujuan berkongsi pengalaman antara ahli Mubarak dengan golongan mahasiswa.

“Untuk memudahkan golongan muda ini menimba ilmu politik dari pengalaman kami yang mana ada antaranya menjadi wakil rakyat selama 40 tahun adalah dengan memperkenalkan Parlimen Mahasiswa.

“Melalui sesi ini, mereka berdebat dan mengemukakan soalan dan menteri menjawab isu-isu yang dibangkitkan oleh mereka,” katanya pada sidang media Mubarak di sebuah hotel di sini, hari ini.

Kata Abdul Aziz, beliau tidak mahu program itu terbiar begitu sahaja dan tidak diteruskan sebaik Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan pada Mei 2018.

“Mubarak ada beritahu kepada pemimpin kerajaan terdahulu sebelum PH ambil alih, berilah peluang kita nak berkongsi dengan anak-anak muda, maka wujudlah Parlimen Mahasiswa.

“Ketika itu setiap universiti awam menyediakan 10 Ahli Parlimen mereka iaitu mahasiswa yang terdiri dari Majlis Pimpinan Pelajar (MPP) dan juga pengerusi persatuan-persatuan.

“Enam universiti swasta juga ikut serta dengan keseluruhannya melibatkan 212 orang berdebat di Parlimen sepanjang tiga tahun itu,” katanya.

Beliau berkata, minggu lepas kerajaan Barisan Nasional (BN) Pahang mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri dengan anak muda dan akan diadakan lagi tahun depan.

Abdul Aziz berharap, negeri lain juga ikut serta sebagaimana dilakukan kerajaan negeri Pahang dengan memberi peluang kepada anak muda atau mahasiswa berdebat di DUN.

“Sekarang ini umur 18 tahun sudah boleh mengundi, lebih penting lagi kerana orang muda cecah umur 18 tahun secara automatik boleh mengundi, tidak perlu mendaftar pemilih.

“Jadi, untuk memantapkan pemikiran mereka sebagai pengundi, untuk mereka memilih siapa Perdana Menteri menerusi undi ini nanti, eloklah kita mantapkan pemikiran mereka, menyedarkan mereka apakah itu Dewan Negeri, Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast