Pengerusi PPBM Selangor, Datuk Rashid Asari kelihatan mengemaskan ruang bilik pejabatnya pada hari terakhir beliau sebagai Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Negeri Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 06 MAC 2020.

SHAH ALAM – Datuk Abdul Rashid Asari yang ditamatkan tugas sebagai Exco kerajaan negeri Selangor kesal tidak sempat menghabiskan tugasan apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diwakilinya kini menjadi blok pembangkang di negeri itu.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Selangor itu berkata, antara yang tidak sempat dilakukannya adalah Pelan Tindakan Bersepadu Pelancongan Negeri bagi menangani Covid-19 terhadap industri pelancongan negeri.

Bagaimanapun beliau memberi jaminan akan memastikan tiada peruntukan daripada kerajaan Persekutuan yang akan ditarik balik dan terjejas meskipun kerajaan pusat kini dikuasai Perikatan Nasional.

“Saya rasa sedikit kesal dengan keadaan ini kerana tidak sempat laksanakan beberapa program yang telah saya cadangkan,” katanya ketika sidang media tergempar di pejabatnya hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Rashid menganggap perkembangan terkini di negeri itu menyaksikan Bersatu dikeluarkan daripada pentadbiran negeri sebagai lumrah politik yang harus diterimanya secara terbuka.

“Untuk itu saya menghormati keputusan yang dibuat pentadbiran Selangor. Pada saya  penyingkiran ini perkara biasa dalam arena politik, ia asam garam politik sekiranya mana-mana politik tidak bersedia bersama parti memerintah negeri mestilah disingkirkan.

“Bagaimanapun saya ucapkan terima kasih kepimpinan Datuk Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari) kerana beri peluang kepada saya memberikan khidmat terbaik dalam barisan exco,” katanya lagi.

Berikutan dinamik politik kerajaan persekutuan yang berubah, PH Selangor mengumumkan Bersatu tidak lagi dalam pentadbiran negeri itu.

PH Selangor kini mempunyai 43 wakil rakyat manakala kedudukan ADUN Bersatu itu akan diubah kepada blok pembangkang pada sidang yang akan bermula 16 Mac depan.

Perkembangan itu menjadikan komposisi kerusi kerajaan di DUN Selangor terdiri daripada PKR (19), DAP (16) AMANAH (8) manakala Perikatan Nasional terdiri daripada UMNO (5), Pas (1) dan Bersatu (5) serta bebas (2).

Menteri Besar Selangor semalam dimaporkan berkata 9 Exco dikekalkan manakala Abdul Rashid mewakili Bersatu  digugurkan.

Abdul Rashid merupakan ADUN Selat Klang.-MalaysiaGazette