Dr Mohamad Khir Toyo

KUALA LUMPUR – Rakyat sebenarnya sudah tidak kisah siapa pun yang menjadi Perdana Menteri atau parti mana pun yang membentuk kerajaan pada hari ini.

Ini kerana, rakyat sudah bosan dengan pemimpin politik yang banyak cakap, banyak janji, banyak temberang dan pandai berpura pura, ditambah lagi dengan politik balas dendam dan mencari salah orang sedangkan harapan rakyat hanya tinggal harapan.

Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo berkata, rakyat juga tidak menaruh sebarang harapan pun pada kerajaan baru kerana bagi mereka semua yang berlaku adalah perebutan kuasa oleh para elitis yang telah hidup senang dengan memperjudikan mereka yang hidup susah.

Katanya, rakyat hanya mahu rundingan baru daripada kerajaan bagi membolehkan mereka meneruskan kelangsungan hidup.

“Kepada kerajaan baru ini, jika setakat hendak laksanakan wawasan kemakmuran, anda fikir rakyat akan sanjung, anda silap besar.

“Mereka mahukan new deals, itu sahaja,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook.

Namun, katanya, jika kerajaan baru ini mampu melakukan sesuatu yang luar biasa, sesuatu yang besar impaknya kepada rakyat, berani membuat polisi menjurus kepada memberi faedah kepada rakyat biasa walau ditentang oleh golongan elitis, maka kerajaan ini akan kekal hingga Pilihan Raya Umum akan datang .

Beliau mengingatkan selepas Kerajaan Perikatan hampir tumbang dan berlaku rusuhan perkauman 13 Mei 1969 hingga membawa kepada penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran), Tun Abdul Razak telah melakukan banyak polisi luar biasa yang menumpukan agihan ekonomi lebih adil kepada rakyat.

Tetapi, polisi-polisi itu sudah tidak relevan lagi hari ini atas banyak faktor perubahan termasuk komposisi penduduk , tahap pendidikan rakyat, tahap keupayaan dan kemampuan rakyat, geografi penduduk negara dan juga kualiti hidup yang memerlukan kekuatan ekonomi tinggi.

Mengulas mengenai kemelut politik yang berlaku baru-baru ini, Khir berkata, kerajaan baru yang terbentuk ini bukanlah kerajaan pintu belakang, tetapi sebuah kerajaan yang terpaksa dibina kerana Kerajaan Pakatan Harapan runtuh apabila Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan .

“Semua faham apabila seorang Perdana Menteri meletakkan jawatannya maka semua Menteri Kabinet juga gugur secara langsung.

“Malah sewajarnya apa apa jawatan lantikan yang dilantiknya juga gugur. Tindakan Tommy Thomas meletakkan jawatan itu tepat sekali. Maka runtuhlah Kerajaan Pakatan Harapan kerana Tun M sendiri.

“Tun M tidak menjadi PM ke-8. Jadi kerajaan yang baru ini bukanlah kerajaan pintu belakang, tetapi kerajaan baru dengan PM baru dan komponen parti yang baru,” jelasnya.

Menurut beliau, keputusan Yang di-Pertuan Agong melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan tidak boleh dicabar oleh mana mana pihak kerana mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen.

“Sebagaimana semua tahu pendirian Ahli Parlimen berubah-ubah, malah hampir setiap jam pendirian mereka kerap berubah, saya pun tak pasti apa puncanya.

“Jika YDPA hendak menunggu hingga pendirian Ahli-Ahli Parlimen ini tidak berubah, saya rasa sampai kiamat pun tak akan berlaku.

“Jika Parlimen dibubar dan PRU diadakan, sebagaimana yang dihasratkan oleh sebahagian rakyat, pastikah kita ada satu parti yang boleh menang dengan majoriti besar dan boleh tubuh kerajaan baru?,” soalnya yang mendakwa analisis politik mengatakan jika PRU diadakan tidak mungkin ada parti boleh menang dan tubuh kerajaan baru. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast