Pengarah Urusan, Afbatni Resources Sdn. Bhd., Mohd. Shahrul Nizam Mustapa.

KLANG – Bagi kebanyakan masyarakat, sampah-sarap pasti dipandang jijik dan kotor apatah lagi bau busuk yang menusuk hidung. Malah gara-gara sampah, ada dalam kalangan kita yang membuangnya mengikut suka hati tanpa memasukkan ke dalm tong sampah secara teratur.

Maka berselerak habis sampah-sampah itu asalkan kita cepat-cepat membuangnya kerana tidak sanggup membawa bau yang kurang menyenang selain rasa jijik kerana ada sampah yang sudah berulat dan berair.

Namun bagi Datuk Mohd. Shahrul Nizam Mustapa, sisa-sisa yang dipandang hina oleh masyarakat itu telah mengubah hidupnya. Beliau tidak menyangka sampah kini mampu menjadikan dirinya sebagai usahawan berjaya hingga memiliki 30 lori sampah dengan harga sebuah mencecah RM500,000.

“Bisnes sampah ini sebenarnya bagus kerana kotor yang berharga. Orang pandang kita ini macam sampah dan dianggap bukan bidang professional,” katanya memulakan perbualan tersenyum.

Mohd. Shahrul kini hingga memiliki 30 lori sampah.

Mengimbau kembali pengalaman hidupnya, bapa kepada empat anak ini mula bekerja syarikat Alam Flora pada tahun 2000. Tanpa pendidikan yang tinggi, beliau hanya memegang jawatan penyelia di mana sesekali terpaksa melakukan tugas mengutip sampah jika berlaku kekurangan kakitangan.

“Saya hanya memiliki Sijil Peperiksaan Malaysia sahaja dan bukan berasal daripada keluarga yang senang. Gaji ketika hanya RM900 dan sudah berkahwin serta memiliki seorang anak.

“Lapan tahun terlibat dalam industri sampah, saya beranikan diri daftar bisnes dan mula belajar selok-belok daripada kawan. Walaupun tiada modal, saya beranikan diri untuk masuk tender dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Lebih 50 tender kutip sampah saya masuk, semuanya gagal. Tetapi saya tetap yakinkan diri walaupun sering panjat pejabat PBT, orang tidak mahu jumpa.

“Tahun 2008, akhirnya saya dapat tender kutip sampah di Pandamaran dan kawasan itu memang teruk dan seluas 8 kilometer. Ketika itu, saya hanya sewa lori sampah orang dengan bayaran RM7,000 sebulan,” katanya yang meninggalkan Alam Flora pada 2010 untuk menumpukan secara serius kepada syarikatnya iaitu Afbatni Resources Sdn. Bhd.

Ditanya cabaran yang dihadapi sepanjang 12 tahun dalam industr sampah itu, Mohd. Shahrul yang memiliki sikap tenang namun mesra memberitahu ia tidak terkira jumlahnya.

Jelas beliau, pada peringkat awal, semua kerja dibuatnya termasuk menjadi pemandu gara-gara kekurangan kakitangan.

Malah ujar anak sulung daripada tiga beradik ini, beliau perlu bangun seawal pukul 3 pagi dan kerja-kerja mengutip hanya akan selesai pada lewat petang bergantung nombor giliran di pusat perlupusan sampah.

Bermula dengan tiga kakitangan, Mohd. Shahrul memiliki 200 kakitanga ketika ini.

Menurutnya, selepas syarikat mula berkembang, cabaran lain mula hadir apabila perlu mengendalikan kakitangan yang semakin ramai.

“Susah hendak dapat pekerja tempatan dan kebanyakan kakitangan saya adalah orang asing. Apa yang penting saya perlu menjaga kebajikan pekerja selain menitik berat kesihatan dengan mendapat suntikan untuk mengelak mendapat penyakit.

“Selain itu, cabaran lain dalam industri ini apabila beroperasi setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad. Memang tidak ada cuti selama 365 hari dalam setahun termasuk Hari Raya Aidilfitri apabila kakitangan tetap bekerja selepas solat sunat di pagi raya.

“Pada masa sama, sampah yang dibuang ikut suka hati oleh masyarakat juga perlu dihadapi oleh kakitangan saya termasuk menemui kepala haiwan yang tidak sepatutnya di buang di tong sampah,” katanya yang kini memiliki lebih 200 kakitangan termasuk 20 orang di bahagian pengurusan.

Bisnes sampah yang mengubah hidup Mohd. Shahrul.

 

Diasak persoalan bagaimana dapat mampu bertahan dalam industri sampah hingga ke hari ini, Mohd. Shahrul memberitahu bisnes sampah itu membolehkan dirinya berkhidmat kepada masyarakat.

Kata jujur, gara-gara terlalu minat dengan bisnes, beliau boleh makan dan minum di tepi sampah sarap yang dianggap busuk dan jijik bagi kebanyakan masyarakat.

“Saya perlu bekerja keras dan buat betul-betul dalam bisnes kerana ia bukan tradisi keluarga.

“Saya sebenarnya bangga bila orang tanya dan jawab kutip sampah. Anak-anak pun sama tidak malu bapa mereka kerja dalam bisnes sampah ini.

“Paling utama, sampah telah ubah hidup saya kerana dapat menolong ke jalan agama dan anak bangsa.

“Mengenai masa depan bisnes sampah ini, ia tidak akan mati namun masa depannya bergantung kerajaan untuk menerokainya. Tapi saya akui kita belum pergi ke tahap negara maju dan masih berada di negara ketiga dari segi mentaliti,” katanya yang kini mendapat tender mengutip sampah di Klang, Kajang, Subang dan Selayang.

Sementara itu, Afbatni Resources kini mengendalikan pengurusan sisa alam sekitar selama 12 tahun yang merupakan salah satu pembekal perkhidmatan pengurusan sisa alam sekitar yang komprehensif dan memiliki kepakaran.

Syarikat itu bekerjasama dengan pelanggan dan rakan kongsi dalam pelbagai bidang dan industri termasuk PBT, syarikat korporat dan komersil, perindustrian, institusi dan komuniti juga. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. itu cuma kutip sampah untok dibuang. belum ada lagi proses sampah itu untok baja dan tujuan lain. gas dalam sampah pun boleh dikumpul untok dijual.

Comments are closed.