Bangunan Perdana Putra (PMO). foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

PASTINYA kini Perdana Menteri dan pasukannya sedang memerah otak mencari calun terbaik menerajui kementerian-kementerian berkaitan.

Diharapkan mereka yang dipilih kelak iaitu dari kalangan ahli parlimen PN diharapkan adalah mereka yang benar-benar kompetitif.

Di masa sama amat wajar beberapa tokoh teknokrat dan birokrat yang kompetitif dilantik menjadi Senator dan turut membarisi Kabinet.

Kematangan kepimpinan dan ahli komponen PN amat dituntut dalam isu pengisian jawatan kabinet kali ini. Belajarlah dari kesilapan lalu.

Buat mereka yang baru pertama kali dilantik menjadi menteri, timbalan menteri atau pengerusi agensi-agensi mahupun GLC perlu bersedia dari aspek mental dan fizikal.

Baik menteri atau pengerusi baharu atau lama, buanglah jauh-jauh sikap sombong dan bongkak.

Jangan minta diraikan berlebihan, jika boleh jangan ada keraian, jangan tunjuk diri berkuasa, pastikan pegawai-pegawai khas agar tidak lebih sudu dari kuah dan lain-lain sifat buruk.

Adalah menjadi harapan rakyat untuk melihat barisan kepimpinan baru negara yang menerajui kementerian, agensi dan GLC bersih rasuah, berintegriti dan berwawasan.

Perancangan 90 Hari

Adalah amat perlu sekarang ini semua kementerian, agensi di bawahnya dan GLC bersiap sedia dengan maklumat terkini akan halatuju, objektif dan pencapaian semasa masing-masing.

Sebaik menteri, pengerusi dan ketua pegawai eksekutif berkaitan melapur diri, ke semua mereka perlu membentuk Perancangan 90 Hari masing-masing.

Adanya data dan maklumat terkini akan memudahkan mereka membentuk perancangan ini.

Usaha menyemak semula prestasi kementerian, agensi dan GLC ini harus dibuat secara menyeluruh demi memastikan objektif penubuhan mereka tercapai.

Kementerian, agensi dan GLC perlu mengubah cara kerja, memperbaiki strategi dan mempertingkatkan prestasi segera sekiranya prestasi tidak cemerlang.

Budaya kerja sambil lewa harus ditukar. Mekanisme menilai prestasi kementerian, agensi dan GLC wajar dipantau rapi oleh pasukan khas yang perlu ditubuhkan oleh kerajaan. Amalan hari ini banyak kelompangan di mana ada kementerian, agensi dan GLC berprestasi buruk.

Kementerian, Agensi & GLC Kelas Pertama

Sudah tiba masanya para penjawat di setiap kementerian, agensi dan GLC benar-benar memacu institusi masing-masing menjadi institusi kelas pertama.

Harapan rakyat kepada kerajaan mesti disantuni oleh kementerian dan agensi-agensi perlu diangkat setinggi mungkin.

Sikap-sikap tercela sebagai penjawat seperti bekerja sambil lewa, mengambil rasuah, pecah amanah dan berbagai sifat tercela lain harus ditangani dengan betul.

Para penjawat awam yang majoritinya orang Melayu sedarlah bahawa kegagalan memberi perkhidmatan baik dan terpuji akan menjejaskan nama baik kerajaan PN, bangsa Melayu dan agama Islam.

Di masa sama sikap masyarakat Melayu perlu diubah kepada menjadi lebih fokus dan kuat bekerja.

Orang Melayu yang bekerja di sektor awam perlu memastikan diri mereka setaraf pekerja sektor awam di negara maju.

Mutu kerja kakitangan kerajaan yang teruk akan membawa kepada kegagalan kerajaan dan akhirnya membawa kepada tumbangnya kerajaan Melayu ini.

Inilah peluang terbaik untuk semua menteri, pengerusi agensi, GLC dan penjawat membuktikan bahawa kerajaan Melayu dan penjawat Melayu adalah berkelas pertama.

Kementerian Kelas Pertama

Sesungguhnya perancangan ampuh perlu dibentuk dan disusuli dengan perlaksanaan yang bersungguh-sungguh.

Badan beruniform iaitu pasukan penguatkuasa termasuk pihak berkuasa tempatan perlu menjadi barisan penguatkuasaan yang mampu menzahirkan komitmen dan integriti terpuji.

Keadaan negara pasti akan menjadi jauh lebih baik apabila agensi penguatkuasa menjalankan tugas dengan cekap, amanah, dan berintegriti terpuji.

Manakala, kementerian dan agensi berkaitan pertanian, penternakan, perikanan dan seumpamanya perlu turun padang dan gerakkan aktiviti perekonomian rakyat dan negara sebaik-baiknya.

Begitu juga dengan kementerian dan agensi berkaitan pendidikan.

Gembelinglah tenaga sebaiknya dalam mendidik anak bangsa menjadi orang bijak lagi pandai atau berkemahiran.

Jalin segera kerjasama kukuh dengan masyarakat miskin bandar dan desa. Pastikan tiada anak bangsa dari kelompok B40 ini yang tercicir hanya disebabkan oleh kemiskinan.

Begitulah juga harapan terhadap semua kementerian, agensi dan GLC.

Dengan kata lain, janganlah sia-siakan harapan orang Melayu untuk melihat sebuah kerajaan Melayu yang kuat dan teguh menjadi kenyataan.

Setiap orang Melayu, keluarga Melayu dan masyarakat Melayu perlu menanamkan satu tekad, janji atau sumpah dalam dirinya bahawa dia akan berjuang habis-habisan untuk menjadi yang terbaik demi maruah agama, bangsa dan negara.

Janganlah berharap atau rasa kecewa apabila bangsa lain tidak menghormati orang Melayu.

Sesungguhnya tiada siapa akan hormat apabila orang Melayu dilihat oleh bangsa lain sebagai lemah, bodoh, malas, makan rasuah dan segala yang buruk.

Tetapi orang Melayu akan dihormati oleh kawan dan lawan apabila ia kuat, cerdik, rajin, bebas rasuah, berintegriti dan segala yang baik.

Kuatnya Melayu dan kerajaan Melayu tidak akan mengubah Melayu menjadi penindas kepada bangsa lain.

Sejarah telah membuktikan bahawa orang Melayu yang berpegang teguh kepada ajaran Islam tidak akan menganiaya sesiapa juga.

Selamat maju jaya orang Melayu dan Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast