Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. foto IQBAL BASRI, 12 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Biarpun tidak menawarkan diri untuk dilantik dalam Kabinet baru, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berikrar akan tetap memberi sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Malah, Presiden UMNO itu bersedia membantu Perdana Menteri memulihkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

Ahmad Zahid berkata, beliau membuat keputusan untuk tidak dilantik sebarang jawatan dalam Kabinet kerana UMNO dan Muafakat Nasional memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada Perdana Menteri untuk mempertimbangkan dan membuat pelantikan daripada kalangan pemimpin yang bersih, berintegriti dan berkaliber.

“Kita masih berteka-teki siapakah yang bakal dipilih menganggotai Kabinet Perikatan Nasional. Rakyat menanti-nanti siapakah pak Menteri yang bakal membawa perubahan kepada mereka. Sebagai parti yang menganggotai Perikatan Nasional dan sebahagian daripada kerajaan, UMNO dan BN serta Muafakat Nasional menyokong YAB Perdana Menteri.

“Kita yakin bahawa YAB Perdana Menteri mempunyai roh dan semangat yang sama. UMNO dan Barisan Nasional telah mengemukakan cadangan senarai nama-nama anggota Kabinet mengikut peratusan atau kadar sumbangan UMNO dan BN serta sokongan ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN dalam pembentukan kerajaan baharu.

“Keutamaan diberikan berdasarkan kepada hierarki pemegang jawatan-jawatan utama dalam UMNO Malaysia dan BN. Muka-muka baharu, tokoh-tokoh muda, profesional, teknokrat daripada BN dan friends of BN turut dicadangkan namanya bagi pertimbangan YAB Perdana Menteri,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Yang lebih utama, katanya, keputusan ini diambil setelah mengambil kira pandangan dan semua faktor tertentu mengikut keadaan semasa ketika ini, selain ingin memfokuskan kepada proses membersihkan nama mahkamah tanpa pengguguran kes.

Tegas Ahmad Zahid, beliau mahu mahkamah menentukan keputusannya walaupun tuduhan ini adalah pendakwaan politik dan pendakwaan terpilih.

Di samping itu, beliau akan memberikan fokus kepada persiapan parti bagi menghadapi PRU ke-15 dan memperkukuhkan lagi agenda Muafakat Nasional yang diterokai bersama Pas. – MalaysiaGazette