Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Dilantik menjadi Menteri Wilayah Persekutuan merupakan satu amanat yang berat dan tanggungjawab yang besar bagi Tan Sri Annuar Mussa.

Justeru itu beliau memberi jaminan akan berusaha sedaya upaya untuk menjalankan tugasnya.

“Saya bersyukur kerana terpilih untuk menjadi sebahagian dari Kabinet Malaysia. Ianya adalah satu Amanah yang amat berat dan tanggungjawab besar. Insyallah Saya akan melakukan tugas saya dan berkhidmat sedaya upaya saya,” katanya di Twitter.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pelantikan tersebut yang menggantikan Khalid Samad sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan yang berakhir kurang dua minggu yang lalu.

Annuar berharap agar tugasnya sebagai menteri baharu dalam Perikatan Nasional itu akan dipermudahkan.

Hari ini Muhyiddin mengumumkan melantik Setiausaha Agung UMNO itu sebagai Menteri Wilayah Persekutuan manakala Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara Kumar, dinamakan sebagai timbalannya.

Annuar 63, merupakan Ahli Parlimen Ketereh, pernah menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar pada 1993 hingga 1999, selain menjadi Menteri Belia dan Sukan pada 1990 hingga 1993.

Beliau pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peringat dan ADUN Kok Lanas dan Ahli Parlimen Peringat, merupakan lulusan ijazah Sarjana dalam Pengurusan Pembinaan daripada University College of London serta ijazah Sarjana Muda Perancang Bandar dan Desa daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Beliau mula berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Perancang Bandar, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada 1981 selama setahun dan Pengarah Bahagian Perancang Korporat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Kelantan bagi tempoh yang sama bermula 1985.-MalaysiaGazette