Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa bersama timbalannya, Datuk Seri Dr Santhara Kumar Ramanaidu sebelum memulakan taklimat di Menara Seri Wilayah Kementerian Wilayah Persekutuan, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 11 MAC 2020.

PUTRAJAYA – Tan Sri Annuar Musa memerlukan sedikit masa untuk mengenali Kementerian Wilayah Persekutuan sebelum memberi maklum balas berhubung sebarang tawaran mengenai pembangunan semula Kampung Baru.

Sebagai pemimpin politikĀ  tidak sukar untuk beliau memahami selok-belok kementerian baharunya itu, lebih-lebih lagi yang melibatkan kepentingan rakyat.

“Beri saya peluang untuk kenal jabatan dan ketua jabatan, lepas itu baru saya boleh beri komen.

“Saya tak ambil masa panjang, tidak sukar untuk saya hadam isu-isu Kementerian Wilayah Persekutuan.

“Bagi sedikit masa kepada saya, saya baru saja jejak ke kementerian, saya perlu mendengar taklimat lepas itu baru kita akan buat keputusan,” katanya pada sidang media di pejabat baharunya, di Menara Seri Wilayah, di sini, hari ini.

Ketika pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan, kementerian itu menawarkan RM1,000 satu kaki persegi, di mana RM850 secara pulangan tunai kepada penduduk Kampung Baru.

Manakala RM150 berbentuk pegangan saham dalam satu syarikat tujuan khas bakal ditubuhkan kepada pemilik tanah di Kampung Baru.

Annuar juga menyifatkan pembangunan semula Kampung Baru sebagai bukan sesuatu yang besar, sebagaimana yang digembar-gemburkan pihak tertentu.

“Tiada apa yang terlalu besar (Kampung Bharu),” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.