KUALA LUMPUR – Semua peserta program Ijtimak Tabligh di Masjid Seri Petaling di sini, pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu diminta segera menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) masing-masing.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri ketika membuat gesaan itu berkata, ini berikutan laporan dari Kementerian Kesihatan mendapati seorang peserta dikesan mempunyai gejala demam, batuk dan selesema pada 4 Mac lalu.
“Saya memohon semua peserta ini segera menghubungi PKD untuk membendung penularan jangkitan Covid-19.
“Sila hubungi CPRC Hotline atau Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan seberapa segera,” katanya dalam kenyataan yang diedarkan kepada media, hari ini.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, pesakit itu, seorang warga emas berusia 60 tahun didapati positif Covid-19 selepas menghadiri Ijtimak Tabligh di Masjid Seri Petaling.
Artikel berkaitan: Jemaah tabligh Masjid Seri Petaling alami gejala Covid-19 diminta hubungi Pejabat Kesihatan
Warga tempatan itu adalah kes ke-131 yang dikesan Kementerian Kesihatan dan mula mempunyai gejala deman, batuk serta selesema pada 4 Mac lalu.
Beliau berkata, pesakit itu sesak nafas pada 8 Mac dan dimasukkan ke Hospital Bentong pada hari yang sama.
Sementara itu, menurut Dr. Zulkifli, sekiranya keadaan wabak Covid-19 merebak tanpa terkawal, solat Jumaat boleh untuk tidak dilakukan, tetapi wajib diganti dengan solat Zohor di rumah masing-masing.
Dalam hal ini, katanya, terdapat beberapa garis panduan ditetapkan, iaitu larangan berkenaan perlu dikeluarkan oleh pemerintah yang berautoriti seperti Kementerian Kesihatan.
Katanya, larangan tersebut juga termasuk sebarang bentuk acara dari perhimpunan sama ada rasmi atau tidak termasuk sekiranya wabak sudah menunjukkan kesannya serta ramai individu yang telah disahkan positif Covid-19 ditempat berkenaan. – MalaysiaGazette