Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan jemaah perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, Selangor pada akhir bulan lalu yang mengalami gejala Covid-19 (koronavirus) diminta menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran atau Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) di negeri masing-masing.

Ini kerana International Health Regulations (IHR) Focal Point (FP) Brunei telah memaklumkan IHR FP Malaysia mengenai kes yang disahkan COVID19 dikesan di negara itu mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan tabligh tersebut.

Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan maklumat awal, dianggarkan 10,000 orang dari beberapa buah negara termasuk Malaysia menghadiri perhimpunan yang diadakan pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

“Peserta dari Malaysia adalah dianggarkan melebihi 5,000
orang.

“Semua Jabatan Kesihatan Negeri sedang menjalankan siasatan
lanjut mengenai perkara ini di negeri masing-masing,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Noor Hisham, jemaah yang menghadiri perhimpuan tabligh itu yang tidak mengalami gejala Covid-19 perlu mengamalkan jarak sosial (social distancing) sekurang-kurangnya satu meter dari orang lain selama 14 hari daripada tarikh akhir menghadiri perhimpunan tersebut.

Beliau turut menyeru agar mereka yang menghadiri perhimpunan itu memberi kerjasama kepada KKM bagi memastikan jangkitan
COVID-19 tidak terus merebak dalam komuniti.

Sementara itu, Noor Hisham memaklumkan bahawa kesemua 66 rakyat Malaysia dan ahli keluarga yang dibawa pulang dari Wuhan, China melalui Misi Bantuan Kemanusiaan pada 26 Februari lalu dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah menamatkan tempoh pemantauan di Pusat Pengawasan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT).

Katanya, kesemua mereka tidak bergejala dan semua sampel ulangan bagi mereka telah disahkan negatif. – MalaysiaGazette