KUALA LUMPUR – Kes saman yang difailkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, selesai secara baik di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Kes saman itu, berhubung dakwaan Ahmad Zahid meminta bantuan Muhyiddin yang ketika itu perdana menteri untuk menyelesaikan atau menangguhkan perbicaraan kes jenayah dihadapinya.
Menerusi hantaran di akaun Facebook milik Ahmad Zahid dan Muhyiddin, mereka bersetuju dan mengambil keputusan menghentikan pertikaian peribadi mereka dan prosiding di mahkamah.
“Ia setelah mempertimbangkan kesan saman fitnah itu kepada umum dan mengambil kira saranan daripada Hakim Mahkamah Tinggi, serta keadaan semasa negara yang perlu diutamakan terutamanya soal kelangsungan kehidupan rakyat,” kata mereka dalam hantaran itu.
Ahmad Zahid dan Muhyiddin merakamkan penghargaan kepada hakim Mahkamah Tinggi dan pegawai-pegawai mahkamah yang terlibat dan berharap agar keputusan itu dapat diterima dan dihormati oleh semua pihak dan tidak dijadikan bahan yang boleh menganggu-gugat kesejahteraan serta kestabilan awam dan keyakinan rakyat kepada Institusi Kehakiman Negara.
Sebelum ini, mahkamah telah menetapkan perbicaraan kes itu selama 10 hari bermula 16 Oktober.
Dalam saman yang difailkan pada 4 April 2022, Ahmad Zahid, 71, mendakwa Muhyiddin mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya pada majlis Pentas Perikatan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, Mersing sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-15, di perkarangan Learning Centre Sentuhan Kasih Felda Tenggaroh 3 di Mersing pada 16 Feb 2022.
Berdasarkan pernyataan tuntutan itu, Ahmad Zahid mendakwa kenyataan fitnah tersebut antaranya membawa maksud bahawa beliau menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan, meminta pertolongan Muhyiddin untuk mencampuri urusan perbicaraan kes berkenaan dan mengarahkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor.
Presiden Bersatu itu mendakwa kenyataan dibuat semasa kempen PRN Johor itu merupakan komen adil serta berkepentingan awam. – Bernama