KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) percaya hubungan simbiotik antara agensi itu dan pengamal media akan dapat membantu melahirkan pasukan komunikasi yang lebih cekap dalam mengendalikan maklumat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, menerusi hubungan baik yang terjalin, SPRM dapat memberi penjelasan yang betul dan tepat melalui media agar rakyat dapat memahami apa jua masalah yang mungkin timbul.
Bukan itu menurut beliau, hasilnya juga, berita-berita operasi dan publisiti pencegahan rasuah dapat disampaikan secara meluas ke seluruh pelosok negara dan peringkat antarabangsa menerusi media.
“Misalnya, dengan sokongan media, SPRM mampu menjelas serta menyebarluaskan inisiatif kerajaan yang telah bersetuju untuk meneruskan kesinambungan Pelan Antirasuah Nasional (NACP)
dengan satu strategi baharu di peringkat nasional yang dikenali sebagai Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS).
“Begitu juga kes-kes siasatan berprofil tinggi dan berkepentingan awam,” katanya pada Majlis Malam Anugerah Media 2023 di sini malam ini.
Mengulas lanjut, Azam berkata, rasuah kini merupakan jenayah yang ‘unik’ sifatnya.
Jelasnya, penjenayah-penjenayah rasuah pada masa kini semakin licik dan berpengetahuan dalam mengatasi kelemahan undang-undang sedia ada.
Menurut beliau, era dunia tanpa sempadan dan perkembangan pesat teknologi maklumat, menyebabkan tugas membanteras rasuah semakin mencabar dan bertambah kompleks.
“Oleh itu, SPRM turut bergantung kepada media bagi memastikan segala informasi dan mesej antirasuah sampai ke setiap lapisan masyarakat di negara ini termasuk di agensi kerajaan, swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pusat pendidikan dan juga masyarakat di setiap program, operasi atau aktiviti yang dijalankan.
“Namun demikian, elakkanlah laporan berat sebelah atau yang bersifat memanipulasi sesuatu isu, ini kerana, tidak kira sama ada media konvensional atau media digital, prinsipnya ialah nilai sebuah berita itu terletak pada kualiti dan kredibiliti beritanya dan bukan pada sensasi semata-mata.
“Ketika ini,media arus perdana masih merupakan sumber utama dan perlu diyakini berbanding media sosial.
“Ini kerana kelompok media arus perdana terdiri daripada kumpulan pengamal media yang profesional, terlatih, berlesen dan berautoriti.
“Jadi penyampaian berita yang dihasilkan itu berpandukan kepada sumber yang sahih,” katanya.
Sementara itu, Majlis Anugerah Media SPRM 2023 memilih enam pengamal media sebagai pemenang pada kali ini dengan hadiah keseluruhan yang ditawarkan berjumlah RM24,000.
Selain hadiah wang tunai, setiap pemenang membawa pulang trofi berserta sijil.
Setiap penyertaan telah diadili oleh dua juri yang berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan iaitu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Mustapa Omar dan Penasihat Editorial Bebasnews, Datuk Mohd Zaini Hassan.
Sebanyak dua kategori telah dipertandingkan dalam Anugerah Media SPRM 2023 iaitu Anugerah Media Cetak/Portal Berita dan Anugerah Media Elektronik membabitkan lebih daripada 20 penyertaan yang diterima bagi laporan berita yang disiarkan sepanjang tahun 2023.
Anugerah Media SPRM kali pertama diperkenalkan pada tahun 2020 dan telah mendapat sambutan baik dalam kalangan media di negara ini yang menghantar dan menghasilkan laporan-laporan berita atau rencana berkaitan rasuah. – MalaysiaGazette