KUANTAN – Kerajaan negeri tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang sebelum ini bukan bermakna bersetuju terhadap pencerobohan pekebun durian Musang King di Raub.
Penasihat Undang-Undang (PUU) Negeri Pahang, Saiful Edris Zainuddin sebaliknya berkata, kerajaan bersifat baik kerana memberi muka kepada mereka yang puluhan tahun sebelum ini dengan memberi notis pengusiran terlebih dahulu.
Beliau yang ditemui selepas prosiding di Mahkamah Tinggi di sini mengakui lega dengan keputusan mahkamah hari ini yang menolak semakan semula kehakiman terhadap permohonan seramai 186 pekebun Durian Musang King di Raub itu.
Malah ketika prosiding beliau ada menyatakan kerajaan negeri melalui proses yang panjang bagi membawa kes tersebut kemuka pengadilan yang telah diuruskan oleh PUU negeri terdahulu.
”Diam bukan bermakna setuju. Ia tidak menjejaskan tindakan yang diambil sekarang. Malahan kerajaan negeri dianggap baik pula sebab beri muka kepada mereka.
“Daripada sudut penguasaan perlu kena segera ambil tindakan, kita nampak orang menceroboh kena segera ambil tindakan.
“Mahkamah beranggapan itu bukan satu perkara memberi hak kepada mereka bahkan kerajaan negeri telah memberi peluang kepada mereka, sila keluar,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Tambah Saiful Edris, kes itu tidak sepatutnya dimulakan kumpulan pekebun dari awal kerana mereka secara jelas menceroboh tanah milik kerajaan negeri.
Bagaimanapun beliau akur dengan sikap ketidakcekapan pentadbir pengurusan tanah yang telah membiarkan perkara tersebut berlanjutan terlalu lama.
”Itu (ketidakcekapan) satu perkara yang saya tidak nafikan kerana benda sudah lama tapi ini bukan pertama kali di seluruh Malaysia, ada beberapa kes lagi di tempat lain.
”Sepatutnya penceroboh memberi kerjasama apabila sudah diberi notis suruh keluar kerana tidak mempunyai hak daripada segi undang-undang.
“Adalah lebih baik jika mereka menerima cadangan dan tawaran kerajaan Pahang, bekerjasama dengan pihak dicadangkan dalam memajukan kawasan itu” katanya.
Dalam penghakiman yang diberikan omahkamah mengatakan tiada tindakan atau jawapan balas oleh pejabat tanah kepada permohonan responden bukan bermakna perkara menggunakan tanah tersebut dipersetujui.
Hakim memutuskan ia boleh mengganggap pihak pengurusan tersebut tidak efisien tetapi bukan bermaksud memberi kebenaran terhadap semua permohonan penggunaan tanah milik kerajaan.
Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini menolak permohonan seramai 186 pekebun durian Musang King di sekitar Raub untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan negeri Pahang.
Hakim Mohd Radzi Harun membuat keputusan itu selepas mengambil masa lebih sejam setengan untuk membaca alasan penghakiman.
Selain menolak semakan kehakiman, mahkamah turut mengarahkan pemohon membayar RM600,000 kepada keenam-enam responden dalam kes berkenaan.
Sementara itu kaunsel mewakili plaintif, Siew Choon Jern berkata, pihaknya akan berbincang terlebih dahulu dengan pekebun terlibat sebelum memutuskan sama ada akan menfailkan rayuan atau tidak.
“Kita akan berbincang apakah tindakan yang lebih baik supaya kepentingan pekebun tidak terjejas. Alasan penghakiman hari ini juga panjang dan perlu diteliti terlebih dahulu. Rayuan adalah satu cadangan yang akan dibincangkan,” katanya. – MalaysiaGazette
Pekebun Musang King belum buat keputusan mahu fail rayuan atau tidak – Yu Hui
Mahkamah Tinggi anggap pekebun durian Musang King sebagai penceroboh
Mahkamah Tinggi Kuantan tolak permohonan semakan semula kehakiman 186 pekebun Musang King