SUNGAI BULOH – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merayu kepada semua ahli jemaah tabligh Malaysia yang terlibat dengan perhimpunan di Masjid Sri Petaling pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu agar membuat saringan kesihatan.
Menterinya, Datuk Dr Adham Baba berkata, mereka terbabit boleh menghubungi pihaknya atau datang sendiri ke 57 hospital di seluruh negara bagi menjalani saringan kesihatan daripada Covid-19.
“Saya merayu kepada semua yang pergi ke perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling supaya tambil untuk kita membuat saringan dan kita akan cuba sedaya upaya untuk memberi mereka keselesaan.
“Dalam negara ada 57 hospital yang boleh buat saringan, kita ada 12 hospital yang ada makmal lengkap beserta rawatan sekali,” katanya pada sidang media di Institut Latihan KKM Sungai Buloh hari ini.
Terdahulu Adham bersama timbalan menterinya, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali menghadiri sesi taklimat berkenaan rawatan kes Covid-19 yang diberikan oleh pengurusan tertinggi Hospital Sungai Buloh.
Adham juga berkata, apabila mereka terbabit didapati positif Covid-19, mereka akan ditempatkan di Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan intensif untuk tempoh 14 hari.
“Apabila kita dapat kes ini, kita akan desinfeksi dan alihkan pesakit ke tempat lain sementara. Selepas kita yakin tempat itu bersih, mereka boleh kembali ke tempat tersebut (Masjid Sri Petaling),” katanya.
Ketika ditanya tentang penutup Masjid Sri Petaling selepas satu kes dikesan positif Covid-19, beliau bagaimanapun berkata berlaku salah faham dan pihaknya hanya akan membuat pembersihan sahaja.
“Kita akan pergi ke Masjid Sri Petaling untuk menjejaki dan membuat dekontaminasi. Tiada arahan halang aktiviti perhimpunan, jika mereka ada simptom seperti selsema, demam, batuk dan sesak nafas, mereka perlu elakkan berhimpun,” katanya.
Katanya lagi, orang ramai perlu menjaga nyawa rakyat Malaysia daripada terkena jangkitan Covid-19 sekiranya meraka mempunyai simptom tersebut.
“Sebab itu kita menggesa mereka ini datang perhimpunan, kita cadangkan mereka ini membuat menjarakkan hubungan sosial dengan orang ramai,” katanya lagi. – MalaysiaGazette