Menteri Tugas-tugas Khas, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof mengakui saiz pentadbiran bagi kerajaan Perikatan Nasional (PN) lebih besar daripada pentadiran Pakatan Harapan (PH).- Gambar hiasan.

TAHNIAH dan selamat bertugas diucapkan kepada semua ahli parlimen dan senator yang dilantik untuk membarisi barisan kabinet negara.

Sesungguhnya lantikan itu adalah satu amanah yang maha berat. Amanah yang sarat dengan harapan. Amanah yang boleh membawa pemikulnya ke syurga dan juga neraka.

Buat seorang pemimpin sejati, jawatan menteri mahupun timbalan pastinya meresahkan hatinya. Jauh sekali untuk dia berasa megah.

Pemimpin sejati pasti berlinang air matanya, gementar dan risau hatinya kerana bimbang akan gagal menyantuni setiap lapisan masyarakat yang bernaung di bawah kepimpinannya.

Sudah pasti rakyat baik miskin atau kaya berharap agar semua yang dilantik akan menyantuni setiap isu dan harapan mereka secara menyeluruh, sistematik dan adil.

Sesungguhnya pemimpin sejati akan menggunakan jawatan dan kuasa yang ada untuk memperbaiki kehidupan rakyat.

Jangan diulangi lagi kesilapan lalu yang mana ada yang menggunakan jawatan dan kuasa untuk kepentingan diri, keluarga dan kroni. Kuasa diguna untuk membawa projek ke parlimen sendiri walaupun jelas tidak wajar atau tidak sesuai. Hentikanlah amalan ini.

Lihatlah kecelaruan hari ini apabila kepentingan politik menjadi asas membuat keputusan.

Dengan kata lain, jadilah pemimpin yang tidak kaya harta benda tetapi kaya khidmat yang luar biasa buat rakyat dan negara.

Beringatlah bahawa rakyat kini tidak gentar untuk menukar kerajaan jika mandat yang diberikan tidak diurus dan dimanfaatkan untuk kesejahteraan mereka sebaik-baiknya.

Sekiranya mahu kekal lama memerintah, kerajaan PN harus belajar dari kesilapan kerajaan BN dan PH dahulu.

Menteri & Kementerian Berketinggian 30,000 Kaki

Adalah satu malapetaka buat negara sekiranya menteri dan kementerian serta agensi yang bertanggungjawab menangani isu dan masalah rakyat berada terlalu tinggi di atas iaitu bagaikan sebuah kapal terbang yang tinggi di udara.

Tiada ada apa yang dapat dilihat akan realiti sebenar akan kehidupan rakyat jika menteri dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan berada di Putrajaya atau ibu-ibu negeri sahaja.

Menteri dan pegawai tinggi kerajaan perlu mengubah cara kerja dengan tidak hanya bergantung kepada maklumat yang disampaikan oleh pegawai mereka atau pegawai khas mereka sahaja.

Sedarlah bahawa kerap berlaku maklumat yang diberikan oleh pegawai-pegawai itu tidak mencerminkan realiti sebenar akan apa yang berlaku dalam kalangan rakyat khususnya mereka yang hidup susah di bandar mahupun desa tanpa mengira agama dan bangsa.

Benar, menteri mahupun pegawai tinggi kerajaan tidak punya banyak masa untuk turun ke bawah dan benar bahawa jentera kerajaan ada di mana-mana atau di setiap peringkat.

Persoalan utamanya adalah, adakah semua agensi berkaitan berfungsi pada tahap optimum dalam menyantuni rakyat sedangkan menteri atau pegawai tingginya di Putrajaya atau di ibu negeri tidak pernah turun menjengah kakitangannya apatah lagi beramah mesra dengan mereka khususnya di daerah-daerah pedalaman contohnya.

Hentikanlah terlalu banyak membuang masa dengan bermesyuarat sepanjang hari dan hampir saban hari. Hentikanlah juga amalan menteri turun padang atas nama ataupun untuk tujuan mengutip laba politik.

Tidak banyak yang dapat diperhatikan akan kehidupan rakyat dalam majlis turun padang yang kerap bersifat seperti sebuah pesta.

Hentikanlah budaya menteri dijamu dengan makanan enak. Bersusah payah rakyat menyediakan makanan untuk menteri dan para pegawainya sedangkan di rumah ada antara rakyat yang menyantuni menteri itu telah kosong tong berasnya, habis gula dan tepung, dan tiada belanja sekolah anak dan berbagai lagi.

Sesungguhnya, para pemimpin wajar menangis setiap kali melihat rakyat hidup susah. Tiada kejayaan buat seorang menteri, pemimpin atau kerajaan selagi ada rakyat yang susah.

Benar, ada rakyat yang masih boleh tersenyum melambai pemimpin ketika datang ke kampung atau PPR mereka, tetapi sedarlah bahawa dalam saku mereka mungkin kosong sekosong-kosongnya.

Menteri dan Kementerian 1,000 Kaki Persegi

Untuk itu sewajarnya menteri dan pegawai tinggi kementerian dan agensi turun atau terbang lebih rendah lagi iaitu pada ketinggian 1000 kaki atau terus benar-benar berada dalam kancah kehidupan rakyat marhaen.

Apa juga kementerian yang dipimpin, tanganilah segera setiap permasalahan rakyat. Pasti ada solusi terbaik untuk setiap permasalahan yang dihadapi oleh rakyat dan negara.

Sektor Pertanian

Sebagai contoh, tangani segera harga komoditi seperti getah dan sawit yang teruk terjejas.

Rangka dan laksana segera strategi meningkatkan harga dua komoditi utama ini dengan meningkatkan jualan di pasaran sedia ada di samping mencari pasaran baru.

Di masa yang sama, gerakkan usaha bersepadu agar kos mengurus kebun-kebun milik rakyat iaitu pekebun kecil dapat dikurangkan dan hasil pengeluaran dapat ditingkatkan.

Kajian dalam aspek meningkatkan hasil dan kualiti perlu digerakan secara bersepadu. Agensi-agensi bertanggungjawab perlu dibugarkan dan tidak lagi melakukan kerja seperti biasa.

Dengan kata lain, semua bidang berkaitan pertanian perlu berubah. Pegawai pertanian perlu berada di kebun atau ladang milik rakyat dan membimbing rakyat. Berkerja bersama rakyat.

Ubahlah amalan selama ini yang pegawai pertanian duduk di pejabat. Pegawai perlu berada di lapangan berpanas dan berhujan bersama rakyat.

Dengan cara ini barulah masalah rakyat diketahui dan pasti akan ada strategi yang boleh dibangunkan untuk mengatasi masalah yang ada.

Pendekatan serupa perlu dilakukan untuk sektor perikanan, penternakan dan lain-lain yang berkaitan.

Majukan ekonomi rakyat desa dengan bersungguh-sungguh. Kementerian dan agensi yang menyantuni perihal rakyat perlu menyelaras strategi mereka secara sistematik dan berteraskan impak. Hentikanlah amalan selama ini yang bersifat territorial.

Menteri dan kementerian itu dianggap gagal jika gagal meningkatkan ekonomi masyarakat desa yang kebanyakannya dari golongan B40.

Kos Sara Hidup

Kementerian berkaitan yang menyumbang secara langsung dan tidak langsung kepada kos sara hidup rakyat perlu menyusun strategi bersepadu menangani masalah ini.

Satu mekanisme memantau harga barang dan punca kenaikan harga barang perlu berada di dalam pengetahuan menteri dan kementeriannya.

Harga pasti dapat dikekalkan jika permintaan dan penawaran dapat diunjurkan dengan baik.

Untuk memastikan harga kekal rendah iaitu bersesuaian dengan pendapatan paling rendah rakyat negara ini contohnya RM1200 sebulan pastinya memerlukan bekalan yang tinggi dalam pasaran.

Tidakkah boleh kementerian dan agensi serta pegawai mereka mencari strategi untuk memastikan bekalan sentiasa konsisten dalam pasaran baik jika ia dikeluarkan oleh negara ini sendiri mahupun diimport? Pastinya boleh dilakukan.

Satu lagi contoh iaitu berkaitan harga rumah mampu milik yang masih tinggi dan perlu ditangani segera.

Jadikan gaji minimum RM1200 itu sebagai asas untuk menetapkan harga rumah paling rendah buat rakyat.

Andaikan RM1200 sebulan atau RM24000 setahun iaitu pendapatan paling rendah dalam sistem perjawatan di negara ini, maka jika 30% atau RM360 dari pendapatan bulanan itu untuk sewa rumah maka kerajaan wajib membina rumah untuk rakyat pada kadar bayaran bulanan itu.

Jika kerajaan boleh memberi pelbagai insentif untuk menarik golongan kaya atau rakyat asing membeli rumah kedua mereka di Malaysia di samping berbagai kemudahan diberikan kepada pemaju, pastinya tidak sukar untuk membangunkan perumahan benar-benar mampu milik iaitu bukan mampu tengok sahaja untuk rakyat khususnya dalam kelompok B40.

Tabung Perumahan Rakyat wajar dibentuk dan rakyat boleh memulakan simpanan. Dana terkumpul itu boleh digunakan untuk menjadi modal untuk pelaburan yang dirancang dengan baik dan akhirnya membolehkan rakyat memiliki rumah dengan harga mampu milik.

Kerajaan wajib menyasarkan setiap keluarga mempunyai rumah sendiri. Adalah memalukan buat kerajaan jika gagal mengatasi masalah asas ini.

Begitu juga dengan aspek kesihatan rakyat. Sewajarnya perkhidmatan kesihatan negara baik di hospital mahupun klinik perlu terus diperbaiki.

Kos perubatan atau pembedahan contohnya yang mahal di samping tempoh menunggu giliran yang lama perlu ditangani segera.

Begitu juga dengan tempoh masa menunggu giliran untuk berjumpa doktor untuk rawatan biasa di hospital-hospital.

Tingkatkan jumlah doktor dan pakar di hospital-hospital kerajaan. Bukanlah terlalu sukar untuk menentukan nisbah doktor dan pesakit dalam konteks tahap kesihatan rakyat Malaysia hari ini.

Adalah amat menyedihkan rakyat yang bergantung harap kepada hospital dan pakar di hospital kerajaan menemui ajal kerana lama menunggu atau terpaksa merayu di media sosial dan akhbar untuk menampung kos rawatan diri, anak atau ahli keluarga mereka.

Pastikan sistem perlindungan kesihatan nasional yang diperkenalkan oleh kerajaan lalu diperkemaskan tetapi di masa sama perlu dikenalpasti strategi untuk memastikan dana dijana untuk membiayai kos perubatan rakyat.

Adalah wajar Tabung Kesihatan Rakyat dibangunkan di mana rakyat boleh menyimpan dan dana terkumpul itu boleh dilaburkan untuk mendapatkan pulangan lebih besar dan akhirnya boleh disalurkan kembali kepada rakyat yang memerlukan.

Pastinya semua usaha ini perlu diselaraskan dengan baik dengan melibatkan pusat zakat negeri dan agensi berkaitan.

Begitu juga keadaannya dengan sektor pendidikan. Sewajarnya semua institusi pendidikan perlu berprestasi tinggi. Ini adalah kerana sektor pendidikan adalah nadi buat negara dalam melahirkan modal insan kelas pertama.

Untuk itu, mentaliti menteri, pegawai tinggi kerajaan dan kakitangan yang bersikap kerja seperti biasa perlu dibuang jauh-jauh.

Setiap anak yang lahir di negara ini tanpa mengira bangsa dan agama mesti dipastikan mereka mendapat pendidikan terbaik.

Perbaikilah sistem persekolahan yang lebih cenderung memberi perhatian kepada kelas-kelas bermurid pandai sahaja hingga membuatkan pelajar kelas belakang rasa terpinggir dan akhirnya mereka menjadi remaja bermasalah.

Begitu juga dengan kualiti graduan yang dikeluarkan oleh universiti. Terlalu banyak perlu dilakukan dan ada strategi boleh digunakan untuk memastikan graduan benar-benar berkualiti.

Telah tiba masanya negara tidak hanya melahirkan graduan untuk pasaran kerja negara tetapi pasaran serantau dan antarabangsa.

Ini pasti akan menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara. Untuk mencapai objektif ini, pastinya kualiti program akademik tidak hanya hebat dari segi dokumentasi tetapi paling penting kualiti graduan yang dihasilkan.

Oleh itu, mereka yang memimpin universiti amat tidak wajar membuang masa dengan program bersifat keraian. Mereka wajar berasa amat dukacita jika ada graduannya tidak berjaya mendapat pekerjaan.

Kesimpulan

Kerajaan PN tidak mempunyai banyak masa. Untuk itu diseru para menteri, timbalan menteri, pegawai tinggi dan semua kakitangan kerajaan mengubah cara bekerja yang tidak produktif selama ini kepada lebih produktif dan berimpak tinggi.

Pemimpin, turunlah ke paras 1000 kaki atau terus berada bersama rakyat di lapangan. Rasai denyut nadi rakyat. Makan dan pakai sama seperti rakyat biasa. Barulah kalian dianggap sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat.

Ingatlah bahawasanya rakyat tidak akan menghormati dan peduli akan pemimpin itu selagi pemimpin itu tidak peduli atau cakna akan nasib rakyat atau mereka yang dipimpinnya.

Untuk itu berbaktilah dengan seikhlas hati, adilah kepada semua rakyat, dan bantulah sehabis daya akan mereka yang lemah tanpa mengira agama dan bangsa. Dengan izin Allah, pasti kalian mulia di dunia dan bahagia di akhirat kelak.

Mudah-mudahan penulisan ini membawa kebaikan buat semua yang membacanya. Bersama kita membina dan mensejahterakan tanah tumpah darah kita ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast