Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah mempengerusikan mesyuarat selepas dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia di Kompleks Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 12 MAC 2020

PUTRAJAYA – Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang mengepalai Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) memberi jaminan akan terus berpegang kepada konsep kebebasan media yang dipraktikkan selama ini.

Bagaimanapun menurut beliau, KKMM tidak akan berkompromi dengan penyebaran berita palsu yang semakin berkembang masa kini.

“Saya rasa Akta Kebebasan Maklumat adalah agenda yang saya akan teruskan. Saya pegang kepada kebebasan dan hak asasi manusia dan rules of law.

“Saya beri jaminan saya akan meneruskan menegaskan kebebasan bersuara, kebebasan berorganisasi termasuk kebebasan media. Boleh pegang kepada kata-kata saya, tidak kira saya bersama pihak mana,” katanya dalam sidang media sebelum mempengerusikan Mesyuarat KKMM yang pertama bersama ketua-ketua jabatan dan agensi hari ini.

Ditanya samada KKMM akan mengkaji semua pemansuhan Akta Antiberita Tidak Benar 2018, Saifuddin berkata, perkara itu akan turut diambil kira kementeriannya dalam mendepani penularan berita palsu.

“Dulu ada Akta Anti Berita Tidak Benar dan ditarik balik, jadi tidak adil kepada saya untuk buat pengumuman sama ada kita nak laksanakan ia semula kerana ia melibatkan kementerian lain juga.

“Tapi isu ini akan saya ambil perhatian. Saya akan lihat semula tapi isunya bukan Akta Anti Berita Tidak Benar, tapi adalah kebebasan bersuara,” katanya.

Untuk rekod, Akta Antiberita Tidak Benar 2018 pernah dibentangkan di Parlimen pada 27 Mac 2018 sebelum diluluskan pada 2 April tahun sama, dengan pindaan terhadap hukuman penjara daripada maksimum 10 tahun kepada enam tahun.

Akta itu kemudian dimansuhkan selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran selepas menang Pilihan Raya Umum Ke-14.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, KKMM akan menubuhkan Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia yang dianggotai pelbagai pemegang taruh berkaitan dengan undang-undang, dasar dan program kementerian.

“Saya memperkenalkan matlamat baru kementerian ini, iaitu memacu kecendekiawan dalam masyarakat. Kecendekiaan bermaksud masyarakat yang mampu memperoleh dan memanfaatkan ilmu dan kemahiran.

“Inilah maksud visi kementerian ini, iaitu melahirkan masyarakat terhubung, berinformasi, kreatif dan berbudaya digital.

”Semua ini harus selaras dengan matlamat-matlamat utama negara, contohnya, membina kehidupan damai dalam kepelbagaian; membangun masyarakat berbudaya ilmu dan saintifik; memartabatkan bahasa kebangsaan; menikmati kemakmuran ekonomi yang dikongsi bersama; dan anggota warga dunia yang aktif dan berdaya saing,” katanya lagi. -MalaysiaGazette