KUALA LUMPUR – Seorang atlet negara telah disahkan positif pandemik Covid-19 hari ini disyaki dijangkiti daripada bapanya yang juga positif virus maut itu.
Rentetan berita terkini itu, segala fasiliti atau kemudahan latihan sukan di Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara (ISN) yang dipercayai telah dikungjungi dan digunakan oleh atlet tersebut di Bukit Jalil di sini telah diarahkan ditutup serta merta.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengesahkan perkara tersebut dalam kenyataan media hari ini.
“Saya telah menerima laporan seorang atlet negara, Jackie Wong yang telah didapati positif Covid-19 dipercayai dijangkiti daripada ayah beliau yang juga didapati positif Covid-19.
“Atlet tersebut telah pun pulang ke Sarawak pada 11 Mac 2020 dan dikuarantin di Hospital Sibu.
“Sebagai langkah segera untuk keselamatan dan kesihatan atletatlet pelbagai acara sukan, saya telah mengarahkan agar fasiliti MSN dan ISN yang telah dikunjungi atlet tersebut untuk ditutup sementara untuk tujuan proses pembasmian atau sanitasi yang sepenuhnya,” katanya.
Tambah Reezal, proses pembasmian itu akan dilaksanakan secara teliti dan sepenuhnya dan dijangka selesai dalam masa dua tiga hari lagi.
“Dengan kerjasama dan mengambilkira nasihat dan arahan Kementerian Kesihatan, semua atlet-atlet, jurulatih dan pegawai yang pernah kontak (berhubung) rapat dengan atlet tersebut akan diasingkan.
“Mereka semua telah dinasihati supaya mengkuarantinkan diri di asrama, menjalani ujian pengimbasan dan menurut nasihat Kementerian Kesihatan yang selanjutnya,” tegas beliau.-MalaysiaGazette