KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii disahkan positif Covid-19 dan kini dikuarantin di Hospital Sarawak.
Yii berkata, sebelum ini beliau bersama Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen telah melakukan ujian saringan.
Bagaimanapun, Chong disahkan bebas daripada jangkitan virus berkenaan.
“Jabatan Kesihatan malam tadi mengeluarkan keputusan ujian Covid-19 yang dijalankan ke atas saya dan Chong, yang mana menunjukkan Chong negatif untuk virus itu, tetapi saya pula positif Covid-19.
“Saya kemudian dimasukkan ke Hospital Sarawak lewat malam tadi untuk pemantauan mengikut prosedur standard yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya menerusi laman sosial.
Yii, mendakwa beliau tidak menunjukkan sebarang gejala sejak dua minggu lalu dan kini dalam keadaan stabil, malah ujian yang dijalankan di dalam wad turut mendapati tiada tanda demam.
Beliau bagaimanapun memaklumkan pernah berurusan dengan Ahli Parlimen Sarikei, Wong Ling Biu pada 2 Mac lalu.
Wong adalah rakyat pertama yang disahkan positif virus itu.
Menurutnya, Jabatan Kesihatan juga mengesan kontak dan sumber jangkitan lain, selain Wong.
Yii berkata Jabatan Kesihatan telah memberi jaminan semua langkah berjaga-jaga yang perlu diambil termasuk mengenal pasti dan menghubungi mereka yang pernah berhubung dengan Wong untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette
Ya ke .hihihi