Orang ramai membuat pembelian panik susulan pengumuman khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan Covid-19. foto AFIQ RAZALI, 16 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Pelbagai faktor yang menyumbang situasi panik, antaranya adalah tindakan pencegahan yang lambat, pengurusan dan komunikasi risiko yang kurang berkesan penyaluran maklumat yang tidak tersusun sehingga membuka ruang penularan pelbagai berita viral.

Kesannya, orang ramai mula melakukan perkara atau tindakan yang dianggap mereka untuk ‘survival’ bagaimanapun membuka ruang kepada penularan wabak dan risiko kesihatan yang lebih tinggi.

Tinjauan wartawan mendapati orang ramai berpusu-pusu melakukan pembelian ‘panik’ di semua pasar raya dan kedai serbaneka di seluruh negara.

Malah, mereka berpusu-pusu di stesen bas dan keretapi untuk pulang ke kampung halaman sejak perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasa kerajaan bermula tengah malam ini.

Arahan kerajaan itu dikuatkuasakan di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Polis 1967 (Akta 344) bagi mengehad dan mengawal pergerakan individu di seluruh negara sebagai langkah untuk mengurangkan interaksi langsung bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Keingkaran terhadap Perintah Kawalan Pergerakan boleh dikenakan hukuman sehingga dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM, Prof Madya Dr Juliana Jalaludin, berkata, penularan wabak lebih mudah berpindah apabila berlaku aktiviti ‘panik’, bersesak membeli keperluan dan untuk pulang ke kampung.

Beliau menasihatkan pelajarnya jika hendak pulang ke kampung naiklah kereta sendiri atau keluarga rapat jangan bersesak di hentian awam jika terpaksa pulang dengan kenderaan awam juga pilihlah masa yang sesuai untuk menaiki bas atau keretapi.

“Bas tidak desinfeksi lain-lain pun sama, tidak desinfeksi setelah disahkan ada jangkitan.

“Bagaimana dengan kuman yang sudah ada dalam bas yang bergerak dari destinasi pertama hingga destinasi tiga? Tidak tahu siapa yang sudah dijangkiti? Tambah lagi dalam bas kelembapan tinggi.

“Bagaimana hendak kesan kontek pesakit turun naik bas, mana naik kereta mana pegang apa.

“Apa yang lebih membimbangkan adalah pembawa wabak lebih bahaya kerana dirinya tidak menunjukkan simptom tetapi boleh memindahkan wabak kepada mereka yang sistem imunisasi lemah ,” katanya.

Tambah beliau, seperti yang sudah dilaporkan, hanya kontek orang sahaja yang disemak.

Kontek bukan orang tidak disemak dan bahaya terbuka lebih luas daripada kontek bukan orang, sebab itu merebaknya cepat secara eksponen bukan linear.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak perlu panik, dapatkan maklumat dari saluran yang tepat bukan berkongsi berita viral dari sumber yang tidak sahih.

Amalkan cara hidup dan penjagaan kesihatan yang baik contohnya basuh tangan dengan air yg bersih sabun dan sebagainya, sebenarnya pembersihan menggunakan sabun itu lebih baik untuk membasmi kuman berbanding bahan sanitasi.

“Tetapi kerana panik orang borong sanitasi banyak-banyak sehingga ada ambil kesempatan untuk jual semula dengan harga tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast