Sehari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan bagi membendung wabak Covid-19, rata-rata premis makan mula kehilangan pelanggan.
Bagi pengusaha restoran nasi lemak terkenal di sini, Datuk Seri Mohd Shamil Abdullah, 64, perkembangan tersebut sememangnya sudah dijangka apatah lagi para pelanggan kelak hanya dibenarkan memesan makanan untuk dibawa balik ke rumah.
Beliau yang telah mengusahakan restoran tersebut selama 19 tahun bagaimanapun bersyukur kerana restorannya tersenarai dalam perkhidmatan Grab Delivery.
Secara tidak langsung perkhidmatan penghantaran itu akan membantu memudahkan kerja-kerja penghantaran makanan kepada pelanggan dalam waktu terdesak seperti ini.
“Sebab kita ada sediakan khidmat Grab Delivery tetapi kita tidak buka kedai, beri khidmat bungkuslah.
“Sudah tentu akan alami kerugian sebab tempoh perintah ini dua minggu, jadi nasib baik ada Grab Delivery dan boleh bungkus,” katanya kepada MalaysiaGazette yang membuat tinjauan sekitar kawasan ini.